ULASAN Dewan Rakyat akan kembali bersidang pada 17 Oktober 2016 dan Bajet Negara 2017 akan dibentang oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober.
Tanggal 5 Oktober, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan ingin menghapuskan pertindihan fungsi antara kementerian-kementerian dalam usaha untuk menguruskan perbelanjaan mengurus atau operating expenditure (opex) dengan berkesan.
Badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) melihat kenyataan menteri tersebut secara positif dan ingin membangkitkan beberapa perkara berkaitan seperti berikut:
Pertama, Pertindihan antara kementerian yang merangkumi pertindihan fungsi agensi-agensi kementerian telah lama wujud dalam pentadbiran kerajaan.
Kedua, Pelbagai pihak telah membangkitkan masalah berikutan pertindihan seumpama khususnya kesan pertindihan terhadap tatakelola, pelaksanaan dan koordinasi dasar kerajaan sehingga menjejaskan keupayaan kerajaan menyelesaikan masalah yang berbangkit.
Ketiga, kerajaan sedang berdepan dengan era pendapatan daripada hasil sumbangan berkaitan petroleum dan produk petroleum telah menurun secara mendadak sehingga andaian penyediaan Bajet yang sebelum ini berasaskan harga minyak mentah Brent sekitar AS$100 setong telah mengalami anjakan baru sehingga andaian baru berasaskan harga minyak kurang daripada AS$50, malah serendah AS$30 hingga AS$35 harus diambil kira.
Keempat, kutipan hasil cukai GST pada suku kedua tahun ini berkurangan sebanyak 30 peratus atau RM3.1 bilion, yakni daripada RM10.2 bilion pada suku pertama 2016 kepada RM7.1 bilion pada suku kedua.
Dalam keadaan sedemikian, kenyataan menteri kewangan menonjolkan kebijakan dasar dan betapa kerajaan harus mengambil tindakan segera apabila menteri kewangan mengumumkan Bajet 2017 minggu depan.
Seperti yang dibangkitkan oleh menteri kewangan kedua, pertindihan fungsi kementerian dan agensi berkaitan bukan sahaja menjejaskan tatakelola, tetapi juga menyumbang kepada pelbagai bentuk kebaziran.
Dalam keadaan ekonomi hari ini, kebaziran adalah satu bentuk kegagalan keupayaan kerajaan yang begitu menonjol.
Tetapi apa yang tidak dibangkitkan oleh menteri kewangan kedua ialah, penelitian kabinet pimpinan Perdana Menteri Najib menunjukkan bahawa, Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan kementerian yang paling banyak bertindih dengan kementerian-kementerian lain.
Sesungguhnya, terdapat satu trend di mana setiap perdana menteri baru cenderung membentuk agensi baru dan melakukan rombakan tertentu sehingga bilangan agensi JPM meningkat dan bertindih dengan agensi kementerian lain. Trend ini begitu terserlah setelah Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Tun Mahathir Mohamad dan juga setelah Najib menggantikan Pak Lah.
Sesungguhnya, JPM adalah agensi utama yang mempunyai kontroversi di mana peranan JPM itu sendiri bertindih di antara pelbagai agensi dan kementerian. Dengan demikian, JPM harus diteliti semula aktiviti-aktiviti dan bahagian yang berkenaan serta membuat penyusunan semula bagi mengatasi masalah pertindihan tersebut.
Jabatan Perdana Menteri terlalu besar. Daripada penelitian terkini portal rasmi JPM, di bawah JPM wujud 93 entiti, merangkumi 58 jabatan, 15 badan berkanun, 14 syarikat, lima yayasan, dan satu pertubuhan antarabangsa. Banyak ‘agensi’ JPM didapati memaparkan fungsi yang sama atau hampir sama dengan kementerian lain.
Penghapusan agensi tertentu, susun semula agensi-agensi tertentu dan pemindahan kuasa agensi-agensi tertentu daripada JPM kepada kementerian lain, bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh menteri kewangan kedua, tetapi juga mengangkat kedudukan kementerian-kementerian tertentu yang agak tersisih, malah dapat mengembalikan kuasa kepada kementerian-kementerian tertentu yang sebelum ini bertanggungjawab terhadap bidang kuasa tertentu sehinggalah kuasa sedemikian dipindah ke JPM.
KPRU telah membuat kajian atas sejumlah besar ‘agensi’ di bawah JPM. Berdasarkan butiran-butiran Bajet 2016, terdapat 12 ‘agensi’ yang didapati bertindih dengan agensi atau kementerian lain dan 10 ‘agensi’ kewujudannya boleh dipertikaikan apabila dibandingkan dengan agensi lain, atau kementerian lain, atau dipertimbangkan kontroversi fungsinya.
Sebagai contohya, PERMATA yang fokus dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak bertindih dengan Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab dalam pendidikan awal atau prasekolah. Oleh itu, PERMATA lebih sesuai diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menjaga kebajikan kanak-kanak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat atau di bawah Kementerian Pendidikan. Pandangan pakar pendidikan wajar diambil kira sebelum keputusan dibuat.
Selain itu, PERDA adalah lebih sesuai diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang kini telahpun mempunyai lembaga-lembaga yang mirip dengan PERDA bagi negeri lain, iaitu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).
Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga pernah berkata PERDA lebih sesuai dikendalikan oleh KKLW berikutan fokus utama agensi berkenaan yang menumpukan kepada projek pembangunan luar bandar dan wilayah.
Seterusnya, salah satu agensi yang sering dibincangkan adalah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). SPAD berlaku pertindihan dengan Kementerian Pengangkutan dalam hal ehwal kereta api (KTM, LRT, ERL) di Semenanjung Malaysia.
Melalui Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, SPAD telah mengambil alih Jabatan Keretapi Malaysia (beroperasi di Semenanjung), yang selama ini mentadbir melalui Akta Keretapi 1991. Oleh itu, SPAD yang bertanggungjawab dalam hal ehwal segala kenderaan perdagangan darat, lebih sesuai diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan untuk pemantauan pengangkutan awam dengan lebih berkesan.
Dengan perbincangan dan cadangan di atas, kami berharap masalah pertindihan fungsi kementerian dan agensi kerajaan dapat diselesaikan bagi mengembalikan kuasa kementerian yang telah diambil oleh JPM, melicinkan tatakelola kerajaan, dan yang penting memenuhi objektif penjimatan yang dibangkitkan oleh menteri kewangan kedua.
Justeru, kami berasa cadangan ini harus dibawa ke Bajet Negara 2017 yang bakal dibentangkan oleh perdana menteri merangkap menteri kewangan Najib.
Dikeluarkan oleh Ooi Heng, pengarah eksekutif Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).
