Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan dilengkapi dengan senjata tidak mencederakan (non lethal weapon) baru ketika berhadapan dengan rusuhan, perhimpunan haram termasuk perhimpunan BERSIH bulan depan.
Komander FRU SAC Wan Abdullah Ishak berkata senjata itu terdiri daripada variable kinetic system, tactical marking pistol dan flash launcher merupakan nilai tambah kelengkapan logistik sedia ada, lapor Utusan Malaysia.
Jelasnya, penggunaan senjata itu bukan sahaja tidak membahayakan keselamatan perusuh dan orang awam malah lebih praktikal berbanding penggunaan pemancut air dan gas pemedih mata yang biasa digunakan selama ini.
“Nonlethal weapon ini lebih praktikal kerana mudah untuk ditujukan kepada sasaran seperti perusuh yang agresif berbanding kaedah lama seperti gas pemedih mata yang boleh membahayakan golongan wanita dan kanak-kanak.
“Senjata ini juga tidak boleh digunakan sesuka hati kerana sasarannya adalah di bahagian bawah badan dan kaki dengan tujuan untuk menyuraikan rusuhan tanpa mencederakan perusuh," beliau dilaporkan sebagai berkata.
Tambahnya, sehingga kini sebanyak 140 unit tactical marking pistol dan masing-masing lima unit variable kinetic system dan flash launcher yang telah diterima dan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan semasa.
Wan Abdullah berkata, memandangkan ia adalah senjata baru, pihaknya akan beri kursus mengenai cara penggunaan dan kendaliannya kepada 2,500 anggota dan pegawai PSP di seluruh negara.
Selain itu katanya senjata itu akan turut digunakan ketika perlawanan bola sepak di stadium, lawatan orang kenamaan dan juga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.
Sementara itu, Berita Harian melaporkan Wan Abdullah berkata, anggota wanita yang memantau perlawanan bola sepak di stadium akan dilengkapi dengan senjata tersebut.
"Pada masa depan, kami akan membekalkan anggota wanita yang bertugas memantau perlawanan bola sepak di stadium dengan senjata ini," beliau dilaporkan sebagai berkata.
