Enam petani dari Mambang Diawan di Kampar, Perak ditahan reman sehingga Isnin selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki yang didakwa pekerja daripada syarikat pemaju berhubung kes pertikaian tanah.
Petani berkenaan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, kata peguam mereka KS Bawani.
Lapan daripada lelaki yang didakwa pekerja syarikat pemaju itu juga telah ditahan, katanya.
"Kami minta reman itu ditolak kerana ini adalah kes pertikaian tanah dan sudah ada perintah mahkamah yang belum selesai, tetapi mahkamah memutuskan bahawa reman akan dibuat sehingga Isnin," kata Bawani kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
Katanya, petani berkenaan membuat aduan dan perintah mahkamah dibuat pada 27 Oktober di Mahkamah Majistret Kampar.
Ujarnya, pemaju perlu menyelesaikan pertikaian tanah itu di mahkamah, tetapi sebaliknya mereka menghantar pekerja untuk mengganggu petani berkenaan.
Individu yang mendakwa pekerja dari syarikat pemaju itu datang ke tanah yang dipertikaikan pada Khamis dan pergaduhan tercetus antara mereka, katanya.
Pergaduhan itu mengakibatkan beberapa petani yang sebahagian besar daripada mereka telah tinggal di tanah itu sejak 50 tahun lalu cedera, katanya.
Kedua-dua pihak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar malam yang sama, tetapi pada hari berikutnya ditahan di balai yang sama.
Menurutnya, tujuh petani ditahan tetapi mereka mendesak salah seorang daripada mereka yang berusia 65 tahun dibebaskan.
Petani berkenaan bekerja secara sah di tanah milik kerajaan negeri itu lebih 40 tahun selepas diberikan permit pertanian.
Bagaimanapun pertikaian berlaku selepas kerajaan negeri bertindak menjualnya kepada pemaju.
Bawani berkata petani berkenaan telah membuat laporan polis berhubung isu itu sejak beberapa tahun lalu.
