Ulasan Malaysiakini

'P Pinang juara nombor satu KDNK'

Lim Guan Eng  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN Dalam masa lapan tahun, kerajaan Pakatan telah berjaya mengubah Pulau Pinang, negeri tercorot di bawah pentadbiran BN pada tahun 2006-2007, menjadi juara nombor satu dalam kadar pertumbuhan KDNK per-kapita bagi tahun 2014-2015.

Kerajaan negeri Pulau Pinang membantah keras pembohongan BN kononnya prestasi ekonomi dan kewangan kerajaan negeri Pakatan sangat menyedihkan, dan memutarbelit kejayaan kita mengubah ekonomi Pulau Pinang menjadi salah satu yang paling dinamik di Malaysia.

BN tidak boleh menukar hitam jadi putih, atau putih menjadi hitam apabila laporan tahunan Ketua Audit Negara membuktikan perkara-perkara berikut.

Sepanjang lapan tahun sejak kerajaan Pakatan mengambil alih, Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan belanjawan tahunan dengan lebihan terkumpul sebanyak RM574 juta sepanjang lapan tahun 2008-2015, lebih banyak berbanding BN sepanjang 50 tahun antara 1957-2007 yang setakat RM373 juta.

Kita telah berjaya melakukan lebih baik dalam tempoh lapan tahun berbanding apa yang BN lakukan dalam masa 50 tahun.

Aset rizab dua kali ganda

Aset rizab kita telah meningkat hapir dua kali ganda sepanjang tempoh lapan tahun ini, daripada RM850 juta menjadi RM1.6 bilion.

Lebih signifikan ialah hutang kerajaan negeri telah dikurangkan sehingga 90 peratus dalam jangka masa yang sama pada jumlah RM69 juta menjelang hujung 2015, yang terendah dalam negara.

Hutang RM69 juta ini perlu dibandingkan dengan sejumlah RM16.8 bilion oleh 13 negeri, dengan Pahang yang berhutang hampir RM2.9 bilion, diikuti Sabah sebanyak RM2.6 bilion, Sarawak RM2.5 bilion, Kedah RM2.3 bilion dan Kelantan RM1.3 bilion.

Bandingkan prestasi ekonomi Pulau Pinang dengan kerajaan persekutuan yang telah merekodkan belanjawan tahunan berdefisit untuk 18 tahun berturut-turut sejak tahun 1998 dan hutang kerajaan persekutuan yang meningkat tiga kali ganda sejak 2007 menjadi RM800 bilion.

Jadi beritahu saya - prestasi ekonomi kerajaan manakah yang menyedihkan?

Projek terbengkalai

Hasil kejayaan ekonomi Pulau Pinang boleh dilihat dengan kembali hidupnya projek-projek perumahan yang terbengkalai dan pemulihan pusat-pusat pelancongan yang telah mati seperti bangunan Komtar, Bukit Bendera, George Town, Penang International Sports Arena (PISA) dan malah Seberang Perai.

Bahkan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat daripada bantuan tunai sebanyak RM400 juta yang diagihkan saban tahun seperti pemberian RM100 setiap tahun untuk warga emas, ibu tunggal, surirumah, orang kelainan upaya dan murid sekolah, serta bayaran one-off RM1000 untuk perbelanjaan kematian, RM200 untuk anak-anak baru lahir dan RM1000 untuk mahasiswa tahun pertama.

BN telah cuba untuk memusnahkan kejayaan Pulau Pinang dalam pengurusan kewangan dan tadbir urus yang bersih, termasuk amalan tender terbuka, yang telah mendapat pujian daripada laporan tahunan Ketua Audit Negara dan juga Transparency International dengan mendakwa bahawa:

“Jabatan Statistik menunjukkan bahawa KDNK per-kapita untuk Pulau Pinang merekodkan kenaikan 44 peratus daripada RM31,039 pada tahun 2007 ke RM44,847 pada tahun 2015, kadar terendah yang direkodkan. BN malah memuji negeri paling miskin di Malaysia, Kelantan. KDNK per-kapita di Kelantan bagi tahun 2015 adalah yang paling rendah, namun kadar pertumbuhan untuk negeri Pantai Timur iu pada tempoh yang sama antara 2007-2015 jauh mendahului Pulau Pinang pada kadar 73.9 peratus.”

BN gagal menyebutkan bahawa merekalah penyebab kenapa Pulau Pinang merekodkan kadar pertumbuhan terendah bagi KDNK per-kapita.

Bermula dengan negeri tercorot

Bagi tahun 2006-2007, Pulau Pinang adalah negeri tercorot, merekodkan kadar pertumbuhan KDNK per-kapita pada hanya 5.9 peratus. Apabila kerajaan Pakatan mengambil alih pada tahun 2008, kita mempunyai tugasan yang besar untuk mengubah ekonomi yang direkodkan pada kadar terendah bagi KDNK per-kapita.

Kerajaan Pakatan telah berjaya mengatasi cabaran ini seperti yang ditunjukkan angka-angka yang diberikan Jabatan Statistik. Pulau Pinang menduduki tempat ketiga seluruh negara bagi pertumbuhan KDNK per-kapita bagi tahun 2012-2013, tempat kedua bagi tahun 2013-2014 dan johan pada tahun 2014-2015.

Meskipun kita mengambil masa 8 tahun, kerajaan Pakatan telah berjaya mengubah negeri tercorot dalam negara bagi tahun 2006-2007 menjadi negeri nombor satu dalam pertumbuhan KDNK per-kapita bagi tahun 2014-2015.

Inilah kemampuan kerajaan Pakatan, menukarkan defisit menjadi lebihan, negeri corot menjadi juara, hutang yang tinggi bertukar rendah.

Rahsia kejayaan kerajaan Pakatan Pulau Pinang ialah integriti dan urustadbir bersih. Bezakan Pulau Pinang sebagai negeri paling bersih di Malaysia yang dipuji Transparency International dengan kerajaan persekutuan BN yang diberi gelaran kerajaan paling korup dalam dunia.

Daripada memuji kami kerana mengubah ekonomi negeri Pulau Pinang, kami disuruh belajar daripada BN yang telah menjahanamkan reputasi negara di mata dunia dengan skandal RM53 bilion 1MDB dan skandal derma RM4.2 bilion.

Mereka yang berbohong semudah bernafas nyata tidak layak memimpin negara.


LIM GUAN ENG Ketua menteri Pulau Pinang