Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Juanda: Demi Sarawak, ikut 'sibuk' macam Malaya
Diterbitkan:  Oct 17, 2016 1:46 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Ketika semenanjung sibuk dengan isu pindaan Akta Mahkamah Syariah, pihak di Sarawak pula digesa meneladani sikap sama untuk mendapatkan semula kuasa negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Selari dengan pendirian Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata langkah itu perlu untuk memperbetulkan keadaan.

"Kalaulah pihak di Malaya sedang sibuk dengan pindaan RUU355 yang hangat diperkatakan sejak sidang Parlimen yang lalu, maka sewajarnya pihak di Sarawak - sebagai memenuhi kehendak rakyat dan perjuangan Adenan hendaklah ada inisiatif untuk membetulkan keadaan hakisan kuasa negeri Sarawak yang telah berlaku sejak 1976," kata Juanda.

Adenan semalam berkata anggota-anggota parlimen Bumi Kenyalang mungkin mahu mendapatkan semula kuasa Sarawak bawah Perjanjian Malaysia 1963 menerusi pindaan perlembagaan.

Adenan berkata pindaan perlembagaan pada 1976 menyebabkannya Sabah dan Sarawak mempunyai status sama dengan negeri-negeri di semenanjung.

Katanya, pindaan itu, perlembagaan menyebut Malaysia merangkumi negeri-negeri di Malaysia Barat, Sabah dan Sarawak serta Singapura.

Menulis di Facebook, Juanda berkata beliau pasti keseluruhan rakyat akan gembira jika kuasa negeri dapat dikembalikan.

Bekas mufti Perlis itu mengingatkan, kandungan dokumen penting penubuhan Malaysia itu wajar diteliti selalu, bahkan apa yang menyatakan ia perlu disemak setiap 10 tahun.

Juanda juga membangkitkan beberapa persoalan utama yang timbul susulan usaha “memperbetulkan kembali kedudukan Sarawak”.

  • Sekiranya pindaan perlembagaan 1976 yang menurunkan taraf Sarawak pada 40 tahun lalu sah di parlimen, apakah pindaan itu pernah dibawa untuk pengesahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak?
     
  • Jika ya dan diterima maka pindaan itu sah. Jika tidak maka jelas pindaan itu bertentangan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) yang merupakan international treaty dengan peraturan tersendiri.
     
  • Jika ia pernah diterima DUN Sarawak, maka DUN yang sama perlu bertindak menolaknya kembali dengan usul baru.
     
  • Jika pindaan itu tidak pernah dibawa ke DUN Sarawak, maka anggota parlimen perlu mencadangkan pindaan pembatalan terhadap artikel perlembagaan yang jelas bertentangan dengan MA1963 yang tidak boleh diubah suai tanpa persetujuan pihak pihak terlibat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS