Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Saya membaca satu laporan berita dari akhbar Malay Mail Online bertajuk Interfaith group urges MPs to reject Hadi’s Bill, says will empower hudud menyebut bahawa Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menyeru ahli parlimen Malaysia menolak RUU 355.

Bagi pihak umat Islam, saya terlebih dahulu mengajak semua pihak yang terlibat dengan kenyataan tersebut dan dalang yang berada di belakangnya yang terdiri daripada parti politik supaya kembali kepada perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dalam mana-mana bahagian persekutuan.

Marilah kita menghargai jasa pemimpin semua kaum dan agama yang telah berjaya memasukkan perkara ini dalam Perlembagaan Persekutuan.

PAS yang tidak menyertai PERIKATAN (Umno, MCA dan MIC) adalah satu-satunya parti pembangkang yang wujud dan mempunyai hanya satu kerusi pada pilihan raya umum prakemerdekaan 1955 ketika parti-parti lain khususnya dalam Pakatan Harapan belum dilahirkan di alam dunia ini.

Hudud terus menjadi senjata sejak zaman berzaman walaupun RUU 355 bukan hukum hudud. Perkara yang tercakup dalam RUU 355 adalah bagi memperkenalkan konsep kehakiman dalam Islam.

Ya! Semua undang-undang adalah wajib melalui proses kehakiman yang adil termasuk hudud. Adakah mengikut fahaman mereka Islam ini agama kelam-kabut yang tidak ada sistem kehakimannya sehingga penganut Islam bergantung kepada tunjuk ajar warisan penjajah semata-mata?

Bidang kuasa terbatas

Undang-undang Islam merangkumi seluruh kehidupan manusia daripada sudut individu, keluarga, kemasyarakatan, negara sehinggalah antarabangsa.

Maka tidak adil terhadap Islam kalau hudud dianggap terus sahaja mengenai potong tangan, seolah-olah hukum Islam - termasuk hukum keluarga - tidak perlu kepada proses kehakiman yang adil (mahkamah).

Menjadi hak kepada umat Islam untuk beramal dengan agamanya sendiri tanpa gangguan daripada pihak agama lain ketika kita juga menghormati kedudukan mereka untuk bebas beramal dengan agama mereka di bumi Malaysia ini.

Pada masa sekarang, bidang kuasa jenayah mahkamah syariah adalah sangat terbatas. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan.

Mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 mahkamah syariah hanya diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Bidang kuasa itu telah ditambah pada 1984 dengan pindaan kepada akta itu dan mahkamah syariah diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau rotan tidak lebih enam sebatan atau gabungan hukuman itu.

Bidang kuasa ini masih rendah dari bidang kuasa mahkamah majistret kelas pertama yang biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara sepuluh tahun dan boleh menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atau denda RM10,000 atau sebat 12 kali atau gabungannya.

Satu lagi pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 ialah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Dengan pindaan itu, dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah syariah, sebutan-sebutan dalam fasal itu mengenai seorang majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan-sebutan mengenai seorang hakim mahkamah syariah.

Al-Quran lebih mendahului

Oleh itu jika seseorang ditangkap bagi kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah syariah dan dia tidak dilepaskan, orang itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang hakim syariah dengan segera, sekiranya tiada apa-apa sebab yang berpatutan, dalam tempoh 24 jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa hakim syariah itu.

Sekurang-kurangnya pindaan itu telah menyamakan kuasa hakim mahkamah syariah - dalam perkara itu - dengan kuasa majistret.

Tegasnya, RUU 355 adalah hak bagi penganut Islam sahaja. Maka saya menyeru supaya umat Islam bersabar dengan agama mereka berpandukan al-Quran (kitab suci yang mereka imani), sunnah (amalan Nabi Muhammad SAW) dan dalam hubungan masyarakat majmuk di Malaysia kerana konsepnya yang kekal.

Walaupun kewujudan masyarakat majmuk di sini adalah ciptaan penjajah mengikut acuannya untuk agenda pecah dan perintah, namun al-Quran lebih mendahului petunjuk bermasyarakat majmuk dengan adil dan bersaudara di atas konsep kemanusiaan sejagat.

Firman Allah SWT bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujurat: 13)

Kita diwajibkan berpegang kepada konsep "tiada paksaan dalam beragama". Pada masa sama, Islam memerintah penganutnya supaya berdialog dengan dengan cara terbaik, khususnya bersama penganut yang mempunyai kitab suci.

Firman Allah SWT bermaksud: Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Kitab) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri. (al-Ankabut: 46)

Demi melihat kepada penyelesaian terhadap gejala jenayah dan keruntuhan akhlak yang melanda dunia - termasuk di negara kita yang tercinta ini - maka saya mengajak kumpulan pelbagai agama itu supaya kembali kepada kitab suci agama masing-masing, supaya mengambil sudut undang-undang yang ada di dalamnya dan mengkaji perbandingan dengan undang-undang Islam termasuk hudud dan membandingkannya dengan undang-undang warisan penjajah yang tidak ada dalam kitab suci semua agama. Sila tunjukkan kepada kami.

Kami mengajak pihak lain supaya melihat Islam secara langsung daripada sumber kitab suci al-Quran secara budaya ilmu yang bijak dan sihat. Bukannya budaya ISIS dan Daesh berhujahkan senjata tanpa ilmu seperti yang dipaparkan oleh Barat dan medianya yang merancang terhadap Islam dan penganutnya yang dizalimi.

Jangan zalimi Islam dan penganutnya sehingga melangkah sempadan.

Inilah penyelesaian kita.


DATUK SERI ABDUL HADI AWANG ialah presiden PAS dan Anggota Parlimen Marang.

Lihat Komen
ADS