Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jamal kata Maria, Ambiga tak perlu wujud di Malaysia

Nampaknya ketua kumpulan baju merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak berlapik menyatakan pandangannya terhadap tiga orang kuat BERSIH yang membuat laporan polis petang tadi.

Bagi Jamal, Maria Chin Abdullah, Datuk S Ambiga dan Mandeep Singh tidak perlu wujud di Malaysia" ini.

Bercakap kepada Malaysiakini Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar memberitahu kumpulan BERSIH serta "fahaman" mereka tidak diperlukan bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia yang menikmati suasana aman damai sejak merdeka.

Mengulas mengenai dakwaan mereka menghadapi ancaman bunuh Jamal berkata beliau tidak hairan ketiga-tiga pemimpin BERSIH terbabit menerimanya dan beranggapan ia hanyalah rekaan.

"Ia (tuduhan mendapat ancaman bunuh) dibuat ekoran kegagalan BERSIH dalam siri jelajah mereka sejak beberapa minggu lalu.

"Saya percaya apa yang mereka lakukan ini adalah perbuatan terdesak kerana sejak beberapa minggu road show BERSIH mereka gagal menarik sokongan orang ramai selain kelompok kecil penyokong dan orang-orang mereka sendiri," tegas Jamal.

Petang tadi Maria Chin, Ambiga dan Mandeep membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya selepas beranggapan mereka mendapat ancaman bunuh.

Malah Maria Chin mendedahkan pihak yang mengugutnya itu juga menghantar gambar MyKad tiga anak lelakinya melalui telefon bimbit.

Amaran itu didakwa datang daripada kumpulan IS di Malaysia.

Kumpulan pendesak reformasi pilihan raya itu sedang menjalankan kempen mempromosi perhimpunan BERSIH 5 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November ini.

Menurut Jamal ugutan bunuh itu tidak ada kaitan dengan kumpulan baju merah yang diketuainya, malah beliau menganggap pihak yang mengaitkannya dengan isu itu dianggap berniat jahat.

"Kami bukan sebegitu, gerakan baju merah wujud kerana gerakan kuning yang busuk, yang memfitnah dan yang kotor. Itu sebabnya kami wujud dan kami tidak akan melakukan perkara begitu (mengancam bunuh)," katanya.

Sementara itu mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan tiada maklumat gabungan BERSIH diresapi pengganas IS, Jamal enggan mengulas lanjut.

Jamal sebelum ini mendakwa BERSIH sudah diresapi pengganas IS.

Jamal berkata, kenyataan tersebut dibuat berdasarkan maklumat yang diterimanya dairpada sumber yang boleh dipercayainya.

"Saya dah hantar maklumat kepada polis, awak semua pun dah tahu dan saya tidak mahu mengulas perkara itu," katanya.

Lihat Komen
ADS