Memang orang Islam disuruh memberikan nama yang baik kepada diri sendiri atau orang lain, namun kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin perintah itu tidak terpakai pada sesuatu yang sudah ada nama.
Menulis catatan ringkas pada Facebook Mohd Asri berkata sesuatu makanan tidak menjadi haram semata-mata kerana namanya.
Sebaliknya kata beliau apa yang membuatkan sesuatu makanan itu menjadi haram adalah kandungannya.
"Buah mata kucing halal walaupun mata kucing sebenar haram. Kuih tahi itik di Kelantan halal walaupun tahi itik tidak dimakan dan najis pada majoriti ulama.
"Kodok (katak) diharamkan tapi cucur kodok halal. Telinga keling tidak boleh dimakan tapi kuih telinga keling halal," katanya.
Beliau dipercayai mengulas kekeliruan sesetengah pihak kepada nasihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada rangkaian kedai makan Auntie Anne's beberapa hari lalu.
Malaysiakini pada 18 Oktober melaporkan Jakim membuat saranan kepada pemilik rangkaian kedai Auntie Anne's menukar nama makanan mereka daripada 'pretzel dog’ kepada ‘pretzel sausage’ untuk memudahkan sijil halal diperolehi.
Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Dr Sirajuddin Suhaimee berkata panel penilaian jabatan itu sebelum ini tidak dapat mempertimbangkan permohonan Auntie Anne's kerana perkataan "dog" itu merujuk kepada anjing dalam bahasa Inggeris.
“Ya, (kerana) panel tak dapat pertimbangkan perkataan 'dog' kerana merujuk pada haiwan anjing,” katanya kepada Malaysiakini.
Jumpa ketua pengarah
Kelmarin Malaysiakini turut melaporkan kenyataan penyelia kualiti dan eksekutif halal syarikat itu Farhatul Kamilah Mohamed Sazali yang berkata syarikat itu sudah mencadangkan beberapa nama baru untuk produk mereka dan masih menunggu keputusan Jakim.
“Setelah kami mendapat keputusannya, kami harus menukar kesemua menu board (papan menu) sebelum proceed (teruskan) kepada permohonan baru," katanya.
Selain itu, Jakim juga dikatakan meminta Auntie Anne's memohon sijil halal bagi dapur utama tempat proses pembungkusan semula dilakukan sebelum mereka meneruskan permohonan bagi outlet.
Farhatul Kamilah juga berkata beliau juga telah memohon sijil halal bagi kesemua 45 outlet Auntie Anne’s bawah satu permohonan tetapi diminta diasingkan mengikut zon untuk memudahkan proses audit.
Kata Mohd Asri kedudukan sesuatu makanan itu halal atau haram merujuk kepada bahan ataupun kandungan makanan bukan namanya.
"Jika nama itu sudah terpakai dan bukan kita yang memilihnya, makanan (berkenaan) tidak haram hanya kerana namanya, tapi yang dinilai ialah kandungannya," kata beliau.
Mufti Perlis itu kemudian memuat naik status terbaru malam ini beliau berkata sedang menunggu penjelasan terperinci daripada Jakim.
Mengakui isu nama makanan sudah menjadi perhatian di peringkat antarabangsa Mohd Asri memberitahu beliau berjumpa dengan Tan Sri Othman Mustapha dan mendapatkan penjelasan daripada ketua pengarah Jakim berkenaan.
"Beliau memberitahu saya bahawa penarikan sijil halal Jakim yang dibangkitkan itu disebabkan ada faktor lain. Maka, kita wajar tunggu penjelasan detail Jakim," katanya.
