Ramai pelajar perubatan tajaan Kjaan gagal pulang ke Msia
Sebilangan pelajar yang dibiayai kerajaan untuk mengikuti kursus perubatan di luar negara, gagal pulang ke Malaysia selepas menamat pengajian mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sebilangan pelajar yang dibiayai kerajaan untuk mengikuti kursus perubatan di luar negara, gagal pulang ke Malaysia selepas menamat pengajian mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut laporan Bernama , beliau berkata, sehingga 30 April lalu, 183 pelajar perubatan yang telah menamatkan pengajian mereka telah memohon penangguhan pulang berkhidmat di negara ini.
Manakala seramai 99 pelajar lagi yang mengikuti kursus yang sama gagal mengemukakan permohonan penangguhan tersebut, katanya.
"Kes mereka akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Abdullah menjawab soalan Senator Samsiah Samsudin mengenai sama ada masih ramai penuntut yang dibiayai kerajaan di luar negara tidak pulang selepas tamat tempoh belajar kerana bekerja serta tindakan yang diambil ke atas mereka.
Perdana Menteri berkata sebilangan pelajar khususnya pelajar perubatan, yang telah menamatkan pengajian gagal kembali ke Malaysia.
Abdullah berkata permohonan penangguhan kepulangan hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Selepas tempoh penangguhan yang dibenarkan, pelajar hendaklah kembali segera untuk berkhidmat di Malaysia," katanya.
Beliau berkata tarikh tutup permohonan penangguhan ialah pada 30 April lalu.

