Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib mahu legasi lama berlalu, perkenal visi baru TN50
Diterbitkan:  Oct 21, 2016 9:14 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak memperkenalkan wawasannya sendiri yang dinamakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Walaupun tidak merujuk kepada Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, perdana menteri berkata sudah tiba masanya untuk membiarkan 'legasi lama berlalu'.

"TN50, inilah azimat kita mulai kini, biarlah legasi lama berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui," katanya ketika membentangkan Bajet 2017 di parlimen petang ini.

Sebelum ini, Mahathir mendakwa pentadbiran Najib mahu memadamkan legasi beliau dengan mendakwa perdana menteri cuba membunuh industri kereta nasional (Proton) yang dilihamkannya.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menafikan dakwaan itu dan berkata sekiranya benar, banyak lagi legasi lain boleh dihapuskan seperti merobohkan KLCC.

Mengulas lanjut, Najib berkata kerajaan akan melancarkan satu siri wacana nasional untuk menentukan hala tuju dan masa depan negara di bawah TN50.

"Kalau Dasar Ekonomi Baru dulu, Allahyarham Tun Razak rencanakan untuk menyediakan Generasi Baharu yang berjaya dalam tempoh 30 tahun, begitulah TN50 ini akan menjangkau tiga dekad proses dan gerak kerjanya, bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda par excellence," katanya.

Najib berkata TN50 akan dimulakan oleh generasi muda yang terdiri daripada kalangan semua kaum melalui wacana-wacana nasional.

Beliau berkata ia akan dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan dan akan dinaungi beliau sendiri selaku perdana menteri.

"Biarlah TN50 ini menjadi saksi dan berkalamlah tawarikh bahawa, Kita adalah bapa-bapa atau nenek moyang yang bertanggungjawab, mahu mewariskan yang terbaik dan terhebat, diperturunkan kepada generasi hari muka," katanya.
.

Lihat Komen
ADS