Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini memutuskan bahawa perintah sekatan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Noh Omar terhadap seorang ahli perniagaan tahun lalu, terbatal dan tidak sah.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mokhtar Sidin, yang bersidang bersama Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Augustine Paul sebulat suara membenarkan rayuan Lim Choh Siang tanpa kos dan membatalkan perintah sekatan itu, setelah mendapati terdapat kelewatan selama 104 hari dalam pengeluaran perintah sekatan berkenaan terhadap Lim.

Hakim Mokhtar semasa menyampaikan keputusannya turut memberitahu Timbalan Pendakwaraya Fazillah Begum Abd Ghani supaya mengingatkan pegawai-pegawai di kementerian terbabit supaya memastikan proses pengeluaran perintah sekatan dilakukan dengan lebih cepat bagi mengelak penahanan seseorang mengikut Akta Kediaman Terhad 1933, terbatal dan tidak

sah.

Lim, 57, dari Batu Pahat, Johor, membuat rayuan itu setelah Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azahar Mohamad menolak permohanannya untuk mendapatkan pengisytiharaan bahawa perintah sekatan bertarikh 28 April 2004 yang dikeluarkan oleh Datuk Noh di bawah seksyen 2(ii) akta itu adalah tidak sah dan terbatal.

Menurut laporan Bernama, d alam rayuan itu, Lim menamakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebagai responden pertama, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Pahang dan Ketua Polis Daerah Jerantut sebagai responden kedua, ketiga dan keempat.

Perintah sekatan

Rayuan itu dikemukakan melalui peguambelanya S. Thevindran, V. Shanmugam dan T. Shan.

Lim telah ditahan pada 16 Jan tahun lalu, di Batu Pahat mengikut waran tangkap dan penahanan yang dikeluarkan oleh Datuk Noh mengikut Seksyen 2(i) akta itu.

Dia telah dibawa ke Balai Polis Daerah Batu Pahat sebelum dipindahkan ke Penjara Air Molek, Johor Bahru dan telah ditahan di penjara itu sehingga 28 April tahun lepas.

Satu perintah sekatan telah dikeluarkan terhadap Lim pada 28 April 2004 yang menghalangnya memasuki Mukim Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang selama dua tahun mulai tarikh itu.