Malaysiakini
BERITA

Tiada lagi subsidi minyak masak, kecuali paket 1kg

Shakira Buang

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Okt 2016, 5:42 pagi

Harga minyak masak berkuat kuasa 1 November ini akan mengikut harga pasaran.

Bagaimanapun bagi memastikan golongan sasar yang memerlukan dapat menikmati subsidi kerajaan, kerajaan mengekalkan harga minyak masak yang dijual dalam paket 1 kilogram pada harga sekarang iaitu RM2.50 setiap satu.

"Bagi menentukan rakyat sentiasa menikmati kehidupan yang selesa, kerajaan sentiasa berusaha mengekalkan subsidi bekalan minyak masak untuk dinikmati oleh golongan sasaran.

"Saya nak umumkan harga minyak masak (1kg) dikekalkan sebanyak RM2.50 sekilogram," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Putrajaya pagi ini.

Antara kategori minyak masak yang terjejas itu termasuk 2kg, 3kg dan 5kg produk minyak campuran serta produk minyak sawit tulen yang dijual dalam botol lebih besar.

Katanya, susulan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak, harga akan mengikut harga pasaran bagi mengelak kerajaan menanggung kos subsidi hampir RM100 juta sebulan susulan kenaikan harga minyak olien (minyak sawit diproses).

"Pada Januari tahun lalu, harga olien adalah RM2,341 setiap tan, namun pada September lalu ia mencecah RM3,000, peningkatan RM600 bagi setiap tan.

"Langkah ini juga bertujuan mengurangkan pengeluaran minyak masak di sempadan susulan pembelian minyak masak bersubsidi oleh warga negara jiran," katanya.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan bakal memansuhkan subsidi minyak masak mulai bulan depan dan bakal menyebabkan harganya meningkat di pasaran.

Ia juga mencetuskan belian panik di kalangan pengguna menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di kedai dan pasar raya.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan