Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang memperkenalkan pelan perlindungan insurans untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) berumur 15 tahun ke bawah.
Menteri berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata usaha itu dilakukan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) selaku badan yang mengawal selia sektor perbankan dan insurans untuk mencari pelan perlindungan insurans yang sesuai.
"Saya menyeru semua syarikat insurans untuk menawarkan pakej perlindungan yang sesuai kepada OKU termasuk kepada kanak-kanak OKU," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu semasa Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di sidang Dewan Rakyat, Rohani berkata pada masa ini, insurans yang ditawarkan hanyalah untuk OKU berumur di antara 16 hingga 70 tahun.
"Hasil kerjasama dengan BNM, pada 24 Jun 2015, Allianz Malaysia Berhad memperkenalkan produk Allianz Ability Life iaitu pelan insurans hayat yang diperbaharui setiap tahun untuk golongan OKU dengan kadar premium serendah RM50 setahun dan jumlah insurans RM25,000 dan RM70 setahun untuk jumlah insurans RM50,000," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut).
Ahmad Nazlan bertanya tentang usaha kementerian untuk membantu OKU memiliki polisi insurans memandangkan mereka sukar mendapat pelan pelindungan bersesuaian dengan kadar premium rendah.
Rohani berkata kerajaan sentiasa komited untuk memastikan kesaksamaan hak dan peluang yang sama dapat diberikan kepada OKU untuk kebajikan mereka.
Sementara itu, KKPWKM sedang mengkaji cadangan mewajibkan golongan OKU dilantik sebagai ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Timbalan menteri berkenaan Datuk Azizah Mohd Dun berkata ia bagi memberikan peluang kepada golongan berkenaan membangkitkan pelbagai isu khususnya mengenai keperluan mereka di sesebuah kawasan PBT.
"Perkara ini sebenarnya sudah pun dilaksanakan PBT di Melaka dan Pulau Pinang," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) mengenai cadangan melantik golongan OKU dalam PBT di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, beliau berkata seramai 389,417 OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga Jun lepas merangkumi 103,671 kanak-kanak bawah 18 tahun dan 285,746 golongan dewasa dan warga emas.
Katanya kementerian turut berharap kemudahan di bangunan-bangunan lama dinaik taraf bagi memudahkan urusan melibatkan warga OKU.
"Kita tiada masalah dengan akses kepada bangunan baharu yang dibina kerana bangunan tersebut perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan. Namun bagi bangunan lama, kita sarankan agar mereka (pemilik bangunan) menaik taraf kemudahan OKU dan juga orang awam yang lain," katanya.
- Bernama
