Ghafar dan pemimpin veteran gesa Pak Lah selamatkan Umno
Kira-kira 60 pemimpin veteran Umno yang diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya membuat perubahan dalam Umno demi menjamin kedudukan orang Melayu di negara ini.
Mereka bimbang amalan demokrasi dalam Umno yang menurut mereka telah terhakis dan amalan politik wang, boleh menjejaskan kuasa parti itu untuk terus menjadi payung kepada masa depan orang Melayu di negara ini.
Antara lain, kandungan utama memorandum turut menyentuh mengenai pentingnya dipastikan penyertaan 30 peratus orang Melayu menjelang tahun 2020 tercapai dan memartabatkan sekolah kebangsaan.
Difahamkan, Ghafar Baba akan menyerahkan sendiri kepada Abdullah yang juga Presiden Umno dalam masa terdekat ini.
Menurut sumber-sumber, keputusan untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada perdana menteri dibuat dalam suatu majlis perbincangan antara pemimpin veteran Umno yang berlangsung di ibukota Selasa lalu, yang juga merupakan tarikh ulangtahun ke-59 penubuhan Umno.
Kataya, selain Ghafar, turut hadir di majlis perbincangan tersebut ialah bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Sanusi Junid, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Mohamed Rahmat, bekas Menteri Besar Kelantan Tan Sri Mohamad Yaakob, bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Mokhtar Hashim dan bekas Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman.
Ghafar dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1985 hingga 1993 dan menang jawatan Timbalan Presiden dalam perhimpunan parti pada tahun 1987. Pada tahun 1993, beliau tidak bertanding mempertahankan jawatan tersebut.
Sekat amalan demokrasi
Menurut sumber-sumber itu, Ghafar dalam ucapannya di majlis tersebut berkata, orang Melayu kini hanya bergantung kepada kuasa politik sedangkan pegangan ekuiti dan ekonomi terlepas ke tangan bangsa lain.
Kata Ghafar, ini berlaku kerana pemimpin Umno tidak lagi mementingkan perjuangan orang Melayu, tetapi mengutamakan wang ringgit dan Umno pula sedang menghidap sindrom politik wang.
"Ghafar berkata, beliau kesal dengan sebilangan pemimpin Umno yang menggunakan wang untuk membeli kuasa dan dengan kuasa tersebut mereka mengumpul kekayaan. Katanya, cara tersebut bukanlah perjuangan tulen dan kesannya boleh memusnahkan Umno itu sendiri," kata sumber-sumber itu lagi.
Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga turut menyalahkan pucuk pimpinan Umno yang telah "mengkuburkan" amalan demokrasi dalam parti tersebut dengan mengadakan sekatan untuk ahli bertanding beberapa jawatan tertentu.
"Pertandingan dalam Umno, kata Ghafar, perlu terbuka untuk memastikan presiden juga perlu bekerja bagi memenangi sokongan kerana kemenangan mudah atau tanpa bertanding, akan mengurangkan nilai dan erti kemenangan dan boleh mengabaikan amanah ahli dan orang Melayu," katanya.
Oleh itu, katanya, Ghafar berharap pemimpin veteran Umno akan berjuang untuk mengembalikan kewibawaan dan keutuhan parti tersebut untuk terus menjadi payung kepada orang Melayu.
"Ghafar juga melahirkan rasa kecewanya, kerana masih gagal menemui seorang menteri besar Umno walaupun setelah membuat temujanji selama enam bulan, sedangkan beliau hanya mengambil sehari untuk berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat," kata sumber-sumber itu.