Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berpendapat mereka yang bertanggungjawab di sebalik insiden kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru perlu dikenakan hukuman.
"Jika seseorang perlu dihukum kerana kebakaran HSA, menyebabkan enam kematian dan mencederankan 11 orang serta meletakkan risiko kepada nyawa dan tubuh badan pesakit, doktor, jururawat dan kekitangan hospital, maka dia mesti dihukum," katanya.
Dalam perutusan sempena Hari Deepavali, Lim berkata tahun ini adalah salah satu tahun yang suram dan sedih akibat kebakaran tragis itu.
"Insiden tragis di HSA di mana enam pesakit menerima bantuan hayat di unit rawatan rapi (ICU) meninggal dunia disebabkan kegagalan manusia, infrastruktur dan kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.
"Enam kematian akibat kebakaran di ICU HSA tidak sepatutnya menjadi kematian yang sia-sia," katanya.
Sambil menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung insiden itu, Lim berkata, siasatan itu juga perlu diperluas kepada usaha pencegahan kebakaran di HSA dan semua hospital di negara ini.
Ini adalah untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak akan berulang di hospital lain, katanya.
Semalam Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kerajaan tidak bercadang untuk menggantung perkhidmatan syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital, Medivest Sdn Bhd kerana siasatan masih dijalankan.
Katanya, ini bagi mengelakkan perkhidmatan sokongan hospital bukan sahaja di HSA terjejas kerana Medivest turut membekalkan perkhidmatan kepada 12 hospital di Johor, enam di Negeri Sembilan dan tiga di Melaka.
Pada kejadian kira-kira jam 9 pagi Selasa lalu, enam pesakit maut apabila wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA terbakar, manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan.
Tiga kakitangan hospital itu cedera dan dirawat di Hospital Sultan Ismail.
Sehari selepas itu, kepulan asap dikesan di bilik pembedahan hospital yang sama akibat lintar pintas.
