Sebuah pertubuhan bukan kerajaan mengecam kerajaan Kelantan kerana gagal bertindak dan tidak nampak keikhlasan menyelesaikan kemelut pembalakan di Gua Musang.
Presiden Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia (Moada) Bob Manolan Mohamad berkata kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa suku Temiar di situ mengadakan sekatan selepas dihasut pihak tertentu dilihat tidak mencerminkan kejujuran kerajaan negeri.
"Kami amat kesal dengan sikap kerajaan negeri yang nampaknya tidak ada keikhlasan untuk menyelesaikan kemelut ini sejak hari pertama sekatan sehingga ke hari ini.
"Malah timbalan menteri besar berkata orang Temiar dihasut oleh pihak-pihak tertentu. Kami menganggap ini suatu komen yang tidak jujur dan cuba untuk mencuci dan lepas tangan saja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Manolan pihaknya mengadakan lawatan ke tempat sekatan itu dibuat dan bermalam di situ untuk melihat sendiri keadaan sebenar.
Katanya sekatan dibuat di laluan utama ke perkampungan pernduduk terlibat iaitu di Simpang Petey.
"Sebanyak 23 perkampungan yang terjejas dengan aktiviti pembalakan ini yang dijalankan di dalam tanah wilayah adat masyarakat Orang Asli Temiar.
"Tuntutan dan bantahan Orang Asli Temiar mempunyai asas yg kukuh. Mereka sudah menduduki kawasan Gua Musang sejak berzaman sebelum penghijrahan masyarakat yang bukan Temiar.
"Tetapi isunya bukan mereka mahu menuntut atau menafikan hak orang lain tetapi hak mereka dan tempat mereka untuk hidup jangan diganggu," katanya.
Tegur Ku Li juga
Manolan menjelaskan sumber penduduk di situ mendapatkan makanan menghadapi ancaman serius disebabkan pembalakan yang dilakukan di kawasan tanah adat mereka.
Kawasan hutan tanah adat mereka katanya adalah seperti pasar raya bagi penduduk di bandar.
Di kawasan itulah kata Manolan mereka mencari sumber makanan untuk meneruskan kehidupan mereka.
Bagaimanapun kini sumber air bersih mereka tercemar dan amat tidak sesuai digunakan walaupun untuk membasuh pakaian.
"Sumber air bersih mereka 100 peratus bergantung daripada air sungai.
"Kini mereka terpaksa mencari anak-anak sungai yang jauh dari perkampungan mereka untuk mendapat air bersih dan ini amat menyukarkan dan juga melibatkan kos kerana mereka menggunakan motosikal untuk mengangkut air," katanya.
Dalam kenyataan sama Manolan turut menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang mengatakan Orang Asli di kawasan itu tidak ada hak ke atas tanah berkenaan.
Kenyataan ahli politik veteran itu menegaskan keperluan kerajaan negeri membalak kerana untuk pendapatan juga tidak disenangi.
"Adakah untuk mencari dana negeri hanya melakukan pembalakan dan kenapa pembalakan dibuat di kawasan tanah adat Orang Asli?
"Kayu balak ini Tuhan yang tanam, sesiapa saja boleh jadi kerajaan kalau hanya bergantung kepada kayu balak sebagai sumber kewangan," katanya.
