Seorang pelajar lelaki tahun enam di sekolah rendah La Salle di Jalan Gasing dekat Petaling Jaya, mendakwa mengalami pendarahan dalam perutnya akibat ditumbuk oleh guru disiplinnya Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daearah Petaling Jaya Supt Abdul Rahman Ibrahim berkata pelajar berkenaan sebelum itu dipanggil oleh guru lelaki itu setelah dikatakan terlibat dalam satu pergaduhan dengan rakannya pada 6 Mei lalu.

"Pelajar itu kemudiannya mendakwa telah dipukul oleh guru berkenaan dengan rotan dan ditumbuk di bahagian perutnya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.

Ekoran kejadian itu, katanya, penjaga pelajar terbabit telah membawa pelajar berkenaan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan hasil pemeriksaan mendapati pelajar itu mengalami pendarahan di bahagian dalaman perutnya.

Menurut laporan Bernama , penjaga pelajar terbabit membuat laporan polis semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Kita juga telah mengambil keterangan guru lelaki yang berusia 23 tahun itu untuk membantu siasatan," katanya.