Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa mahu satu undang-undang bagi menyiasat kemasukan dana asing ke negara ini.

Annuar berkata undang-undang tersebut penting bagi kerajaan mengetahui sumber pembiayaan tersebut, sekali gus mengelak wujudnya ancaman pengaruh luar untuk menjatuhkan kerajaan.

"Kalau itu dibiarkan berlaku tanpa semak bukan saja ada campur tangan asing terhadap politik dalam negara tapi ada elemen subversif sama ada dana itu datang secara sah dan tidak sah.

"Sebab itu Umno mahukan ada satu undang-undang," kata Annuar dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur hari ini.

Beliau membangkitkan persoalan sama ada kita mahu membiarkan sahaja campur tangan asing jika berlaku.

“Sebab itu Umno-BN masih berpendapat perlunya ada undang-undang tersebut.

“Serupa juga sekarang orang nak menyerang soal RM2.6 bilion dan RM2.6 bilion telah diketahui ia adalah dana pilihan raya.

“Tapi di mana kita nak meletakkan asas, timbang, betul, salah, keluar, masuk, lapor tak lapor dari mana?

"Sebab tak ada asas undang-undang, jadi dengan pengalaman sebegini ia memperkuatkan alasan negara kita patut mengawal dan menyelia tentang dana politik," kata Annuar.

Satu dokumen yang didakwa dari jaringan geran antarabangsa, Open Society Foundation (OSF) mendakwa pengasasnya, jutawan George Soros, mempunyai "kepentingan peribadi" dalam pilihan raya Malaysia.

Walaupun BERSIH tidak dinyatakan dalam dokumen OSF, New Straits Times (NST) dan The Malay Mail mengaitkan gerakan itu dengan Program Malaysia badan itu dalam laporan mereka.

BERSIH sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang dan menegaskan perhimpunan mereka sebelum ini dan akan datang disumbangkan oleh orang ramai.

Selain BERSIH, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri mengarahkan siasatan terhadap badan tinjauan bebas Merdeka Center dan Malaysiakini.

Menurut The Malay Mail, Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian, tiada bayangan atau petunjuk bahawa mesyuarat dihadirinya bersama OSF berkaitan dengan urusan politik dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysiakini Premesh Chandran pula berkata dana berkaitan cabang videonya KiniTV digunakan untuk menghasilkan program berkaitan Sarawak.

Katanya, dana itu juga hanya sebahagian kecil daripada hasil Malaysiakini, yang kebanyakan bergantung kepada langganan dan iklan.

Untuk mengetahui berkaitan dasar ketelusan dan kepertanggungjawapan Malaysiakini, sila klik di sini.

Kedudukan Husni tak berbangkit

Sementara itu, ditanya sejauh mana parti ada membincangkan kedudukan bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Annuar berkata setakat ini perkara itu tidak berbangkit.

“Sejak Husni bangkitkan perkara (1MDB) itu, saya telah menemui presiden parti, setiausaha agung.

“Tetapi di peringkat parti setakat ini tidak berbangkit apa-apa. Urusan polis dan parti bukan urusan yang sama," tambah Annuar.

Lihat Komen
ADS