Paling Popular
Terkini

Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau dipanggil polis berhubung dakwaan membocorkan rahsia kerajaan ketika perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu.

Muhyiddin berkata, tarikh perjumpaan itu belum ditetapkan namun beliau menjangkakan ia mungkin diadakan pada minggu depan.

"Dia (polis) ada panggil. Tapi jadualnya belum ditetapkan lagi (bila boleh beri keterangan). Dia ada bagi tarikh tapi lepas dirunding dia kata tunggu mungkin minggu depan, saya tidak tahu.

"Ada dia (polis) minta saya datang Bukit Aman," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Muhyiddin antara tiga bekas menteri yang dipanggil Bukit Aman kerana dakwaan membocorkan rahsia kerajaan.

"Nanti bila saya dipanggil saya akan jelaskan. Tidak (jelaskan) di Parlimen," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Selain Muhyiddin, bekas menteri kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah dan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut dipanggil polis.

Semalam, Husni hadir ke Bukit Aman untuk memberikan keterangan, namun pihak polis menangguhkannya ke minggu hadapan.

Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hari ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan siasatan terhadap Husni tidak mengikut perlembagaan.

Wan Azizah memetik Perkara 63 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa "Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding dalam mana-mana mahkamah berhubung dengan apa-apa diperkatakan [...] semasa mengambil bahagian dalam mana-mana prosiding sama ada di Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.

Walaupun terdapat pengecualian daripada imuniti parlimen mengikut Perkara 63 (4), Wan Azizah berkata pengecualian itu berkaitan dengan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948, dan undang-undang yang berkaitan dengan kedudukan bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, dan kedudukan raja-raja Melayu.

Lihat Komen
ADS