Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin menafikan dakwaan bekas ketuanya Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa kegagalan BN mengatasi pembangkang dalam perang siber pada 2008 menyebabkan parti itu kehilangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-12.
Sebaliknya beliau yang pernah berkhidmat sebagai ketua pengarang Utusan Melayu mendakwa kegagalan BN itu disebabkan oleh menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Kata Zainuddin, media pada ketika itu dikawal oleh "Budak Tingkat Empat" dan sebagai menteri beliau tidak mempunyai sebarang kuasa.
Istilah berkenaan merujuk kepada sekumpulan profesional muda diketuai Khairy yang berkhidmat sebagai penasihat untuk perdana menteri ketika itu.
"Pada 2008, saya sebenarnya tidak berkuasa apa-apa pun pada masa itu, sebab yang berkuasa atas kesemua media adalah Jabatan Perdana Menteri sendiri.
"Kuasa saya terbatas kepada RTM sahaja. Walaupun saya cuba untuk menguasai tempat-tempat lain, tetapi tidak dihormati sebab yang menguasai adalah Tingkat 4," katanya dilapor Free Malaysia Today hari ini.
Dalam buku biografinya Abdullah mendakwa tindakan Zainuddin menolak penggunaan media sosial bagi menghadapi pembangkang membawa kepada kegagalan BN menguasai majoriti mutlak Dewan Rakyat pada 2008.
Pilihan raya umum itu juga menyaksikan BN tumbang di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak selain Kelantan kekal di bawah PAS.
Biografi berjudul Being Abdullah Ahmad Badawi itu ditulis Datuk Wong Sulong.
Dalam buku itu Zainuddin didakwa tergolong dalam kumpulan konservatif dan berpuas hati dengan kawalan kerajaan ke atas media arus perdana saja.
Katanya beliau berusaha mengadakan interaksi dengan pihak media sosial melalui seminar di bawah usaha pengarah Jabatan Penerangan Malaysia.
Walaupun begitu Zainuddin mengakui hubunganya dengan pihak media sosial tidak sentiasa mesra.
Sebenarnya, kata Zainuddin, kumpulan "Budak Tingkat Empat" itu menggunakan kekuatan kawalan mereka ke atas media bukan saja terhadap pembangkang malah dirinya.
“Semua kawasan diserang dengan membongkar perkara-perkara tidak betul. Umpamanya kawasan saya sendiri (Parlimen Merbok) dinyatakan saya tidak bagi rumah kepada orang miskin, walhal sudah serah kunci," katanya.
