M'sia hampiri jumlah dagangan RM1.5 trilion tahun ini

   

Malaysia dijangka mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM1.5 trilion pada tahun ini, disokong oleh sumbangan daripada sektor pembuatan dan komoditi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata sehingga Ogos 2016, jumlah perdagangan Malaysia sebanyak RM1.1 trilion.

"Tahun lepas, kami mencapai RM1.46 trilion dan menjangka pertumbuhan antara 0.9 dan satu peratus pada tahun ini," katanya kepada pemberita pada pelancaran Minggu Fesyen Malaysia 2016 (MFW 2016) hari ini.

Ong berkata kementerian yakin untuk mencapai sasaran berikutan kedudukan Malaysia yang strategik untuk perniagaan.

Dalam pengumuman bajet baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jumlah perdagangan Malaysia dijangka mencecah RM1.5 trilion.

Sementara itu, Ong berkata, mengenai masa depan, kementerian menjangka eksport daripada industri perkhidmatan, yang masih merupakan segmen baharu, akan terus meningkat.

Ini termasuk sumbangan daripada segmen fesyen dan gaya hidup, katanya.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata eksport daripada segmen fesyen dan gaya hidup dijangka meningkat sebanyak 12 peratus pada tahun ini berbanding sembilan peratus pada 2015.

Pada tahun lepas, segmen tersebut mencatatkan nilai eksport sebanyak RM21 bilion.

MFW 2016 yang diadakan selama empat hari, anjuran Matrade, khusus untuk sektor fesyen dan gaya hidup.

Ia menyediakan lebih 300 ruang pameran oleh peserta pameran tempatan dan antarabangsa dari 16 negara, antaranya, Jepun, Korea Selatan, United Kingdom, Hong Kong, Australia dan Turki.

Ia merupakan inisiatif awam-swasta yang bertujuan meningkatkan profail Malaysia sebagai pusat fesyen di rantau ini.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In