Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan tunggu dan lihat apa yang berlaku semasa kemungkinan baju merah berdemonstrasi di hadapan pejabat Malaysiakini Sabtu ini.
"Kita akan lihat (pada) hari Sabtu," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada polis akan mengambil tindakan terhadap pemimpin baju merah Datuk Seri Jamal Md Yunos atas ancaman beliau semalam untuk "meruntuhkan" sebahagian pejabat Malaysiakini semasa perhimpunan yang dirancang Sabtu ini
Jamal telah mengancam untuk berbuat demikian jika beliau tidak menerima penjelasan berhubung pendanaan yang diterima Malaysiakini dari Open Society Foundation (OSF).
Ditanya sama ada ancaman Jamal itu satu ugutan jenayah, beliau berkata Jamal telah buat banyak kenyataan, tetapi tiada apa yang berlaku.
Khalid berkata sekiranya Malaysiakini melihat kenyataan Jamal itu sebagai satu ancaman, portal berita itu hendaklah membuat laporan polis.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran dan Ketua Pengarang Kumpulan Steven Gan sebelum ini menafikan dakwaan dana yang diperuntukkan itu bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.
Premesh dan Gan berkata Malaysiakini adalah sebuah organisasi berita yang bertujuan untuk memastikan mereka yang memegang jawatan bertanggungjawab kepada rakyat.
Penjelasan terperinci berhubung perkara itu telah disediakan, manakala OSF juga menafikan bahawa ia didorong oleh agenda untuk menjatuhkan kerajaan.
Premesh juga telah menjelaskan bahawa geran berkenaan berkaitan KiniTV telah digunakan untuk menghasilkan program program Realiti Sarawak dan Sekilas Bumi Kenyalang.
"Pemberian geran berkenaan adalah untuk menyokong KiniTV menghasilkan lebih banyak buletin dan berita di Sarawak, yang sukar dilakukan oleh Malaysiakini, memandangkan kos yang tinggi dan kesukaran ke negeri itu," katanya.
