Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selepas M'kini, baju merah mahu demo di Majlis Peguam pula
Diterbitkan:  Nov 7, 2016 5:29 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Selepas dua kali berhimpun depan pejabat Malaysiakini, kumpulan 'baju merah' yang berkaitan Umno kini menjadikan Majlis Peguam sebagai sasaran pula.

Menggunakan alasan sama – isu tajaan George Soros – kumpulan itu mendakwa Majlis Peguam sudah menjadi “alat kawalan jauh” untuk menjatuhkan kerajaan.

“Pihak kami sedang pun merancang (untuk ) mengadakan demo besar-besaran ke atas Majlis Meguam.

“Kerana bagi kami, apa yang dilakukan oleh Majlis Peguam selama ini tidak sedikit pun memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, selain terang-terang jadi pembangkang kepada kerajaan...,” kata pemimpinnya Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Buat masa ini, Jamal, yang juga ketua bahagian Umno Sungai Besar berkata pihaknya sedang berbincang hal berkaitan undang-undang dengan peguam sebelum melancarkan demonstrasi itu.

Kenyataan Jamal itu dibuat melalui rakaman yang diedar kepada media melalui khidmat pesanan WhatsApp.

Kumpulan itu pada Khamis dan Sabtu lalu berhimpun di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya bagi menuntut penjelasan dan mendesak penutupan portal berita ini.

Malaysiakini telah menjelaskan geran diterimanya daripada Open Society Foundation (OSF) digunakan untuk menghasilkan laporan berkaitan hal ehwal Sarawak bagi KiniTV.

Ia hanya sebahagian kecil daripada pendapatan Malaysiakini yang menjana hasil melalui iklan dan langganan.

Malaysiakini juga tidak terlibat dalam sebarang usaha menggulingkan kerajaan, selain tidak dikawal mana-mana pihak luar dalam proses pembuatan keputusan.

Sementara Majlis Peguam pula menjelaskan badan itu menerima geran AS$53,757.12 (US$15,000) daripada OSF sebagai geran untuk kajian mengenai pekerja asing di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen, majlis tersebut, Datuk Seri M Ramachelvan kajian itu antara lain untuk mengenal pasti kaedah perundangan sedia ada untuk pekerja asing.

Ia juga berkaitan jurang untuk pekerja asing mendapatkan akses kepada sistem undang-undang, mahkamah perindustrian, tribunal pentadbiran serta akses kepada keadilan di Malaysia.

Selain Malaysiakini dan Majlis Peguam, BERSIH dan pusat kajian bebas Merdeka Center turut disiasat polis.

Lihat Komen
ADS