Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu di Sabah membenarkan permohonan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengetepikan perintah engkar terhadapnya susulan kenyataannya berkaitan ajaran Kristian.
Peguamnya Hamid Ismail berkata, kebenaran itu dibuat pada jam 2.30 petang semalam terhadap permohonan terhadap presiden PAS itu pada 12 Ogos lalu, lapor Harakahdaily.
Sebelum ini, Hadi disaman oleh peguam Sabah Marcel Jude Joseph atas sebuah artikel berkaitan dengan Kristian.
Hadi sebelum ini memfailkan permohonan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Marcel ekoran kenyataan negatif terhadap Kristian.
Hamid berhujah, anak guamnya tidak menerima writ saman dan tidak tahu bahawa beliau perlu hadir diri ke mahkamah.
Oleh kerana kegagalan anggota parlimen Marang itu untuk hadir ke mahkamah, Hadi dikenakan penghakiman ingkar.
Mahkamah Sesyen pada 12 Ogos mengarahkan Hadi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang untuk membayar Marcel, 54, ganti rugi kerana mencampuri hak perlembagaan plaintif untuk kebebasan beragama bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Marcel memohon penghakiman memandangkan Hadi tidak hadir ke mahkamah dan mahkamah kemudiannya mengeluarkan surat ketidakhadiran oleh defendan.
Saman daripada peguam Marcel diberikan kepada Abdul Hadi pada 19 Julai.
Marcel yang juga anggota Majlis Peguam Sabah dan Sabah Catholic Lawyers Apostolate memfailkan saman terhadap Hadi kerana kenyataannya yang didakwa sebagai menyalahi undang-undang dan hak perlembagaan plaintif untuk kebebasan beragama.
Saman itu berdasarkan artikel yang diterbitkan semula oleh portal Free Malaysia Today daripada artikel asal di Harakah bertajuk "Kristian ditolak oleh mereka yang berpendidikan, kata Hadi" yang memetik pemimpin PAS itu.
Marcel mendakwa defendan membuat kenyataan memfitnah pada perenggan pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam dalam artikel berkenaan.
