Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PKR tuntut SPR dedah pakar rujuk sempadan pilihan raya

Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan pakar topografi dan tebaran penduduk yang digunakan mereka bagi menentukan persempadanan semula pilihan raya.

Menurut Nurul Izzah, sehingga kini SPR tidak pernah memaklumkan siapa pakar topografi dan tebaran penduduk yang mereka guna sedangkan perkara itu termaktub dalam perlembagaan.

Katanya, menurut Seksyen 15 (2) perlembagaan menyebut, SPR hendaklah meminta nasihat daripada dua pegawai kerajaan yang mempunyai pengetahuan khas mengenai topografi dan taburan penduduk dalam unit kajian semula bagi pilihan raya persekutuan.

Pegawai itu pula, kata Nurul Izzah, hendaklah dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, naib presiden PKR itu menggesa pegawai topografi dan taburan penduduk itu didedahkan agar ia dapat dinilai oleh rakyat.

"Di peringkat awal ini alangkah baik kalau mereka (SPR) beritahu pandangan siapa yang mereka pakai untuk buat persempadanan. Siapakah pakar yang dilantik oleh Agong itu.

"Sekurang-kurangnya rakyat dapat menilai siapa pakar ini. Adakah ia bebas," katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi membantah persempadanan semula dianjur SPR di Putrajaya hari ini.

SPR melaksanakan kajian semula persempadanan bagi kerusi parlimen dan DUN bagi Semenanjung Malaysia dan dan Sabah bermula 15 September lalu.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Perkara 115 (2) Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Pada hari ini pula, SPR mengadakan siasatan tempatan kali pertama urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya.

Prosiding itu bermula pada 7 hingga 9 November bertempat di Hotel Marriot Putrajaya.

Malah, Nurul Izzah memberitahu, dalam membuat bantahan persempadanan semula SPR, pihaknya telah melantik pakar bagi mengemukakan rasional persempadanan berkenaan.

Oleh itu, katanya, SPR perlu turut membuat perkara sama agar perbincangan berhubung perkara tersebut dapat dibuat.

Sementara itu, peguam yang mewakili Nurul Izzah, Yusmadi Yusoff memberitahu, SPR tidak boleh merahsiakan identiti dua pakar berkenaan kerana ia bukan maklumat yang diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Kita tuntut (untuk tahu) siapakah pakar ini? Kerana panel SPR kata mereka akan cuba buat (persempadanan semula kawasan pilinan raya) mengikut perlembagaan.

"Jadi demi ketelusan kita minta SPR tunjukkan kepada pengundi Lembah Pantai apa sahaja dokumen berkaitan untuk dinilai.

"Pengerusi SPR yang dilantik ini perlu mendapat kepercayaan rakyat," katanya yang juga pengundi Lembah Pantai.

Lihat Komen
ADS