Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Puitis tetapi tegas. Itulah gambaran terhadap 'Warkah Terbuka Buat Rakyat Malaysia' oleh Datuk Dzulkifli Ahmad sempena 100 hari bertugas sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam majlis sambutan sempena 100 hari bertugas yang berlangsung petang ini, warkah tersebut dibaca Dzulkifli dengan lantang dan tegas sambil diiringi alunan muzik.

Antara intipati kandungan warkah tersebut, Dzulkifli mengingatkan kepada 'Yang Berhormat', ahli politik dan pemimpin masyarakat agar tidak mengkhianati amanah rakyat.

Beliau turut memberi peringatan supaya ahli politik dan pemimpin masyarakat tidak mengaburi mata rakyat dengan cerita 'dongeng' dan dalam pada masa sama mengambil rasuah.

"Jangan hanya mahu didendang dan dijulang di persada takhta, sedangkan pertimbangan dan kepentingan dibiar alpa.

"Hentikanlah membuai para marhaen dengan ciptaan dan dongengan yang mengaburi kebenaran, sedang jari jemarimu terus rakus meragut habuan," katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada pegawai SPRM selepas selesai membaca warkah berkenaan.

Warkah itu dibaca di hadapan kira-kira 400 pegawai SPRM di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Malah, Dzulkifli turut memberi amaran kepada individu yang masih 'mabuk dan lemas' dengan rasuah supaya menghentikan perbuatan tersebut.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Dzulkifli meminta pihak yang mengamalkan rasuah supaya tidak mendabik dada sebaliknya menyerahkan diri kepada pihak berkuasa.

"Buat mereka yang masih mabuk dan lemas dalam suapan- dengarlah laungan amaran ini. Buat kali yang sekiannya, hentikanlah segala pengkhianatan yang berumbikan rasuah dan salah guna kuasa.

"Tunduk dan menyerahlah. Janganlah terus dangkal mendabik dada, kelak terancam nyawa dan raga, tersembam rebah ditimpa bala," ujarnya.

Malah, beliau turut berpesan kepada para hakim agar melakukan pengadilan dengan iman dan keberanian serta tidak membiarkan perkara batil memusnahkan keadilan.

"Maka yang arif lagi bijaksana, adililah hukum dengan iman dan keberanian. Usah biarkan anai-anai kebatilan menerobos pintu keadilan sehingga lohong diracuni kemungkaran.

"Hukumlah mereka yang masih tegar dan hanyut melakukan rasuah dan salah guna kuasa," ujarnya lagi.

Dzulkifli dilantik menjadi ketua pesuruhjaya yang baru pada 1 Ogos lalu.

Beliau yang sebelum ini merupakan pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara itu menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang membuat keputusan untuk bersara.

Lihat Komen
ADS