Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pada pagi selepas Donald Trump dipilih sebagai presiden baru Amerika Syarikat yang sewaktu kempennya mahu mengusir pendatang tanpa izin dan menghadkan pelarian Islam, seorang ibu di New Jersey, Yasmeen Shehab, terjaga oleh bunyi tangisan yang kuat.

Anaknya yang berusia 10 tahun memeluknya sambil menangis teresak-esak.

"Presiden Trump akan haramkan kita dan akan buat kita tinggalkan Amerika," kata anak perempuan Shehab yang begitu takut, walaupun dilahirkan di Amerika, dia dan keluarganya akan diusir.

"Ke mana kita nak pergi?" tanya anak kecil itu.

Retorik garang anti-pendatang Trump ketika berkempen, telah menakutkan ramai pendatang di Amerika Syarikat dan kumpulan minoriti.

Pada hari Rabu, beberapa pekerja asing melaporkan diejek dan diganggu manakala kanak-kanak minta dibawa pulang dari sekolah ekoran berlaku perbuatan membuli etnik atau agama, demikian menurut ibu bapa dan guru-guru.

Orang ramai beralih ke media sosial untuk menyuarakan kemarahan dan kebimbangan mereka, dan pertubuhan hak menerima panggilan dari mereka yang dalam kebimbangan bagi mendapatkan nasihat.

Sementara itu, ibu bapa dan ramai penyokong, berusaha untuk menenangkan mereka.

Walaupun Trump boleh membatalkan beberapa legasi Presiden Demokrat Barack Obama berkaitan dengan imigresen melalui perintah eksekutif, namun banyak janji Republikan memerlukan kerjasama Kongres dan mungkin berdepan dengan cabaran di mahkamah.

Kalangan pakar juga telah memberi amaran bahawa tindakan mengesan dan mengusir 11 juta pendatang tanpa izin di negara itu akan mengakibatkan logistik dan kos kewangan yang besar.

Badan kempen Trump tidak memberi respon segera ketika diminta memberi komen mengenai parkara itu.

Antara mereka yang paling bimbang diusir ialah orang-orang muda yang berada di Amerika Syarikat melalui satu program yang bermula di bawah suatu perintah dari Obama yang ditentang oleh banyak ahli kongres Republikan. [Baca berita penuh]

- Reuters

 

Lihat Komen
ADS