Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Sekatan mungkin dirempuh, OA harap tiada 'pertumpahan darah'

Ketika berdepan amaran rempuhan pembalak terhadap sekatan mereka, aktivis dan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan, kini meletakkan harapan di bahu kerajaan negeri untuk membuat keputusan memihak pada mereka.

Perkara itu dinyatakan melalui memorandum yang disampaikan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan Wan Roslan Wan Hamat di Kompleks Darul Naim, Kota Bharu semalam.

Ia mendakwa mewakili masyarakat Orang Asli Temiar, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan 28 NGO, termasuk Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Pertubuhan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) dan NGO tempatan “R”.

“Sebagai rakyat Kelantan, kami mahu kemelut ini diselesaikan segera dengan baik, elakkan pertumpahan darah dan buat perbincangan dengan libatkan Orang Asli dan semua NGO terlibat,” kata Penyelaras R Mohd Hisyamuddin Ghazali, yang mengetuai acara itu, dalam kenyataannya semalam.

Mereka menuntut rundingan negeri dan Orang Asli di kawasan sekatan terhadap pembalak dibuat.

Bermula dengan Pos Tohoi, sekatan kini turut melibatkan Pos Simpor, Pos Gob, Pos Pasik dan Pos Petei – yang menyaksikan kayu-kayu balak yang ditebang tidak dapat dibawa keluar untuk dijual.

1,600 tan balak terkandas

Persatuan Pembalak Kelantan pada 2 November lalu berkata, sebanyak 1,600 tan balak bernilai RM1.6 juta ditebang di hutan simpan Balah kini terkandas dan mereka mahu merempuh sekatan itu jika mendapat lampu hijau kerajaan Kelantan.

Berita Harian melaporkan Timbalan Presiden Persatuan Pembalak Kelantan Datuk Cheong Kok Tong sebagai berkata mereka sudah hilang sabar kerana terpaksa menanggung rugi.

"Kami akan tetap masuk ke hutan simpan Balah untuk mengeluarkan sejumlah 1,600 tan balak yang sudah ditebang meskipun bakal mendapat tentangan dari penduduk Orang Asli.

"Kami sedia menentang dan berlawan dengan mereka kerana kami di pihak yang benar dan dalam isu ini, kami yang menanggung kerugian apabila projek dihentikan buat sementara waktu.

"Tahap kesabaran sudah capai hadnya. Buatlah 10 sekatan sekali pun, namun kami tetap akan redah dan masuk untuk mengambil balak," beliau dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian.

Pada 6 November lalu pula, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan mengeluarkan notis 14 hari, sehingga 20 November, kepada Orang Asli yang membuat sekatan di Pos Petei dan Pos Pasik supaya mengosongkan sekatan.

Jika tidak, mereka boleh disabit kesalahan dan didenda RM50,000 atau dipenjara lima tahun.

Masyarakat Orang Asli dua hari kemudian membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan mereka tetapi dilapor tidak akan mengendahkan arahan jabatan itu, lapor Utusan Malaysia.

PAS ragui status NGO yang bantah

Sementara itu, akhbar web PAS pula dilihat meragui status NGO “difahamkan tidak berdaftar”, yang terlibat “menghangatkan lagi suasana”

Harakadaily juga melaporkan aktivis parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH), turut kelihatan dalam serahan memorandum itu.

“Masyarakat Orang Asal yang hidup tanpa sebarang gangguan di penempatan mereka sebelum ini, tiba-tiba membuat sekatan laluan lori balak.

“Ini memperlihatkan ada pihak yang berada di belakang tabir. Mungkin mereka tidak sedar usaha yang dibuat kerajaan negeri membela nasib masyarakat Orang Asal sejak dahulu lagi,” Wan Roslan dipetik sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS