Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter dikesan berlaku di pesisir pantai utara Sumatera pada jam 9.54 pagi tadi dengan kesan turut dirasai di pantai barat Semenanjung.

Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Kajicuaca berkata gegaran itu berlaku di latitud 2.0 utara dan longitud 96.9 timur, kira-kira 620km ke arah barat dari Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, antara tempat yang merasai kesan gegaran ialah kawasan sekitar Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sabtu lalu, gegaran turut dirasai ekoran gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter yang dikesan di Sumatera Barat.

Jurucakap Bilik Gerakan Bomba Jalan Hang Tuah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima dua panggilan pada kira-kira jam 10 pagi.

"Pemanggil dari Bandar Tasik Permaisuri dan Jalan Raja Chulan memaklumkan kepada kami bahawa mereka merasai gegaran di tempat mereka," katanya.

Bilik Gerakan Bomba di Petaling Jaya turut menerima panggilan orang ramai yang memaklumkan gegaran di Kelana Jaya.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Gegaran yang agak kuat dirasai di beberapa kawasan di Pulau Pinang ekoran gempa bumi berukuran 6.3 skala Richter yang dilaporkan berlaku di luar pesisir pantai barat Sumatera Utara pada kira-kira jam 9.54 pagi ini.

Polis buat rondaan

Jurucakap Bilik Gerakan Polis ketika dihubungi berkata, polis menerima panggilan telefon daripada orang ramai pada kira-kira jam 10 pagi tadi mengenai gegaran itu

"Kami menerima panggilan dari para penghuni bangunan tinggi di kawasan Batu Lanchang dan Bayan Lepas yang memberitahu ada gegaran berlaku dan polis membuat rondaan ke kawasan berkenaan dan mendapati tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Idris Mydin ketika dihubungi berkata pihak bomba menerima aduan dari orang ramai terutamanya mereka yang berada di bangunan tinggi di sekitar bandar Georgetown.

"Kami menerima panggilan dari penghuni bangunan tinggi di Jalan Argyll, Lebuh Farquhar, Bagan Jermal, dan di sekitar kawasan pantai yang menyatakan bahawa berlakunya gegaran," katanya.

Gegaran itu dirasai selama hampir seminit pada kira-kira jam 10 pagi tadi dan tinjauan Bernama mendapati orang ramai yang tinggal di bangunan tinggi turut keluar dari rumah masing-masing kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Seorang penghuni pangsapuri di Taman Nusantara yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ton berkata, beliau pada mulanya menyangka dirinya pening tetapi apabila melihat air dalam kolahnya berkocak, beliau mengesyaki ia adalah gegaran gempa bumi dan terus turun ke bawah.

"Rumah saya macam bergoyang-goyang dan gegaran ini sama seperti Mac lalu," katanya yang tinggal di tingkat 7 pangsapuri berkenaan.

Jurucakap Hotel Grand Continental juga mengesahkan hotel itu turut mengalami gegaran.

Katanya, bagaimanapun tiada sebarang kemalangan yang berlaku dan para tetamu juga tidak keluar dari bilik masing-masing.