Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Laungan "Hancur BERSIH!" berkumandang di udara ketika sekumpulan anggota kumpulan Baju Merah berkumpul menghidupkan suasana persimpangan Jalan Maarof - Jalan Bangsar hari ini.

Disertai kurang daripada 100 orang, ia lebih kepada acara mempamerkan kekuatan kumpulan itu menjelang perhimpunan BERSIH5 minggu depan.

Kawasan berhampiran Dataran Maybank menjadi lokasi permulaan penyokong BERSIH akan berarak pada 19 November ini dan Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, anggota Baju Merah juga akan berada di situ pada hari berkenaan.

"Tujuan kita berhimpun di sini adalah untuk memberi peringatan kepada BERSIH bahawa apa yang kami katakan berbulan-bulan (sebelum) ini bukan omong-omong kosong.

"Pada 19 November kita akan berhimpun. Di mana BERSIH umumkan nak berkumpul, di situlah kami ada," katanya.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah sebelum ini mengumumkan peserta perhimpunan BERSIH5 akan berkumpul di beberapa lokasi sebelum bergerak menuju Dataran Merdeka.

Selain Dataran Maybank pusat pertemuan peserta BERSIH ialah Masjid Negara.

Pengumuman Jamal itu membangkitkan kebimbangan terhadap ketegangan yang mungkin berlaku pada 19 November nanti kerana kedua-dua kumpulan itu berkumpul di tempat sama.

Kemunculan Baju Merah sebelum ini menyebabkan berlaku kekasaran dan hari ini Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar dilaporkan bersemuka dengan penyokong BERSIH di Bangi.

'Soros bagi duit, rakyat dapat panas terik'

Beliau berjanji membawa turun 300,000 penyokong Baju Merah untuk berdepan dengan BERSIH Sabtu depan.

Jamal turut berjanji membawa 20,000 penyokongnya untuk berhimpun di depan pejabat Malaysiakini. Bagaimanapun minggu lalu himpunan itu dihadiri kira-kira 700 orang saja walaupun Jamal mendakwa ada 10,000 orang yang menyertainya.

Dalam ucapannya hari ini Jamal berkata mereka berhimpun untuk membuktikan rakyat Malaysia cintakan keamanan dan menolak BERSIH.

Penyokong BERSIH, kata Jamal, seperti Tun Dr Mahathir Mohamad pula hanya memecah-belahkan rakyat.

Jamal juga menafikan dakwaan BERSIH bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil kerana memihak kepada BN.

"Jika SPR tidak adil, tidak bersih, bagaimana Pakatan yang tak ada harapan boleh menang Selangor dua penggal, macam mana Pulau Pinang (dapat) diperintah DAP yang begitu rasis, macam mana PAS boleh pegang Kelantan?" katanya.

Beliau kemudian mendakwa penyokong BERSIH diperdaya Maria kerana pertubuhan berkenaan sebenarnya didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta menerima dana daripada hartawan AS George Soros melalui Open Society Foundation.

"Sudah pasti (apabila BERSIH) didaftarkan sebagai syarikat, maksudnya Maria Chin Abdullah berniaga.

"Dia untung berjuta-juta ringgit (tetapi) yang (menjadi) mangsa (ialah yang) bangang dan bahlul kepada si Maria," katanya.

Selepas perhimpunan minggu depan kata Jamal, Maria akan membeli pelbagai barang baru - seperti kereta, banglo dan rumah - di England.

"Soros yang bagi duit tapi orang ramai termasuk kita kena panas terik," katanya.

Lihat Komen
ADS