Terjemahan Kementerian Kesihatan berkata keseluruhan bangunan Parlimen, kecuali kawasan tertutup khas yang ditetapkan, adalah zon larangan merokok, tetapi mengakui ada ahli Parlimen yang melanggar peraturan tersebut.

Setiausaha Parlimennya, Lee Kah Choon (foto, kanan) berkata, kementeriannya sedang berusaha untuk menjadikan bangunan Parlimen sebagai kawasan larangan merokok.

"Terdapat sesetengah ahli Parlimen yang merokok di ruang istirehat ahli Parlimen dan memang terdapat aduan dari ahli Parlimen lain. Bangunan Parlimen memang merupakan zon larangan merokok dan tempat khas sudah disediakan untuk mereka yang mahu merokok," katanya dalam satu sidang akhbar mengenai persidangan anti-tembakau di Kuala Lumpur hari ini.

Kawasan khas itu berupakan bilik berkaca dengan dinding yang tinggi dan siling terbuka. Lee berkata ianya sebuah bilik yang 'selesa' yang siap dengan hiasan air pancut dan pokok-pokok.

Aduan juga diterima mengenai ahli Parlimen yang merokok di kafeteria, ruang istirehat ahli Parlimen dan di lobi Parlimen yang merupakan kawasan larangan merokok.

Menurut Lee lagi, usaha telah dan sedang pun diambil untuk menangani masalah tersebut.

Katanya, seorang menteri telah melancarkan kempen kebersihan pernafasan di Parlimen tahun lalu dan satu klinik bimbingan turut diwujudkan di situ bagi membimbing perokok berhenti tabiat tersebut," katanay.

Tidak boleh larang ekspo

Sementara itu, Lee juga ditanya mengenai satu cadangan untuk mengadakan ekspo tembakau yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 14-16 November dan sama ada ia telah mendapat kelulusan kerajaan.

Beliau memberitahu pemberita, walaupun pihak kementerian memandang berat perkara tersebut, tetapi katanya, tidak ada undang-undang di negara ini untuk menghalang ekspo itu diadakan kerana Malaysia adalah mengamalkan perdagangan bebas.

"Ia bukannya program yang ditaja kerajaan. Ia usaha persendirian. Kita tahu akibatnya (ekspo) ini adalah buruk tetapi sehinggalah kita mengharam tembakau, maka tidak ada undang-undang yang boleh menghalang ekspo itu diadakan," katanya.

Bagaimanapun, para penganjur ekspo tersebut, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, seperti juga lain-lain pertubuhan, telah menulis kepada kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menggesa supaya mereka tidak mengeluarkan permit untuk ekso tersebut.

Lee berkata beliau difahamkan bahawa DBKL belum lagi meluluskan ekspo tersebut yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ekspo itu yang juga kongres tembakau antarabangsa, bertemakan "Kemunculan Pasaran Tembakau", dianjurkanoleh Tabexpo Coalition, yang dianggotai Tobacco Reporter and Tobacco Journal International yang masing-masing beribupejabat di Amerika Syarikat dan Jerman.