Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Speaker tolak usul AMANAH bagi perkasa Mahkamah Syariah

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menolak usul rang undang-undang (RUU) persendirian oleh anggota parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH) yang bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah.

Menurut anggota parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, dalam surat bertarikh 1 Oktober oleh Pandikar, usul berkenaan ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 23 (1)(h).

Justeru, beliau mempertikaikan tindakan usul yang ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat berkenaan memandangkan usul berkenaan bukan merupakan satu pertanyaan.

Peraturan Mesyuarat 23 (1)(h) menyebut, sesuatu pertanyaan tidak boleh dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapat buah fikiran atau penyelesaian berkenaan perkara undang-undang yang belum menjadi masalah atau hendak mendapat jawapan dalam perkara yang dimisalkan.

"Alasan itu diberi mengenai pertanyaan-pertanyaan. Usul saya dari Peraturan Mesyuarat 27.

"Jadi alasan ini bukan alasan sebenar usul saya ditolak," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya sama ada akan membuat rayuan, ketua angkatan wanita AMANAH itu berkata beliau tidak akan berbuat demikian.

"Tak ada guna saya buat rayuan kerana Speaker akan kata ini keputusan muktamad," katanya.

Pada 11 Oktober lalu, anggota parlimen AMANAH itu mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 yang meminta supaya peruntukan pentadbiran dan prosedur yang diamalkan oleh Mahkamah Syariah sedia ada dikaji semula.

Ini bertujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Sebelum ini, seorang lagi anggota parlimen AMANAH Khalid Samad memberitahu bahawa usul RUU tersebut bertindak sebagai 'alternatif' kepada RUU Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Khalid berkata, perbezaan antara dua usul berkenaan ialah bukan mengenai Akta 355.

Lihat Komen
ADS