Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Adam eksport perabot ke luar negara, kata timbalannya

Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly pernah menghuni di sebuah flat di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dikhususkan bagi golongan berpendapatan rendah, beberapa tahun lalu.

Perkara itu didedahkan oleh timbalannya, Harris Idaham yang bagaimanapun menjelaskan Adam, 28, bukannnya berpindah dari flat PPR terus ke banglo yang beliau menetap sekarang.

"Ia bukan satu perubahan mendadak kerana dia (Adam) bukannya berpindah ke rumah sekarang terus dari flat PPR.

"Dari flat PPR, dia berpindah ke rumah yang lebih kecil dan kemudiannya baru dia dapat rumah sekarang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

PPR adalah program di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menawarkan rumah pada paras harga antara RM30,000 hingga RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia atau disewakan pada kadar RM124 sebulan.

Menurut Harris, Adam (atas, bertali leher) berkecimpung dalam dunia perniagaan dan terbabit dalam mengeskport perabot ke luar negara.

"Daripada apa yang saya faham, dia berjaya mendapat pesanan dalam jumlah yang besar daripada beberapa negara tertentu," katanya.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin juga mengesahkan bahawa Adam menceburi perniagaan perabot.

"Anggapnya seperti mana-mana ahli perniagaan," katanya dalam mesej WhatsApp kepada Malaysiakini.

Ketua Wanita PKR itu juga menafikan bahawa Adam adalah pegawai khasnya dan menjelaskan bahawa beliau adalah pemimpin belia yang dipilih parti itu di Ampang.

Adam mencuri tumpuan selepas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mempersoalkan kekayaannya.

Jamal yang juga pemimpin Baju Merah, semalam membawa wartawan menaiki helikopter untuk melihat pemandangan banglo Adam di Ampang dari udara yang didakwanya bernilai RM7 juta.

Adam menafikan dakwaan itu dan berkata beliau membeli banglo itu pada harga RM1 juta melalui lelongan.

Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata pihaknya akan memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, untuk menyiasat kekayaan Adam.

Awal hari ini, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menggesa Adam mengisytiharkan hartanya bagi menamatkan kontroversi mengenai kekayaannya.

Mengulas gesaan itu, Harris menegaskan bahawa mereka akan memberi sokongan penuh kepada mana-mana agensi kerajaan yang mahu menyiasat ‘kekayaan’ Adam.

"Jika diminta mengisytiharkan aset, saya pasti dia akan melakukannya tanpa sebarang rasa takut," katanya.

Walau bagaimanapun, Zuraida berkata, memandangkan Adam bukan seorang penjawat awam, tidak perlu baginya untuk berbuat demikian.

Usaha Malaysiakini untuk menghubungi Adam tidak berhasiil apabila semua panggilan telefon tidak dijawab manakala mesej pula tidak berbalas.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS