Malaysiakini
BERITA

BERSIH5 tetap diteruskan di sebalik penangkapan Maria

Kow Gah Chie

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Nov 2016, 10:50 pagi

Timbalan Pengerusi BERSIH, Shahrul Aman Mohd Saari berikrar perhimpunan BERSIH5 yang dijadualakn di Kuala Lumpur, esok akan tetap diteruskan di sebalik penangkapan ke atas pemimpinnya, Maria Chin Abdullah.

"Ya, kita akan teruskan mengikut jadual," kata Shahrul kepada Malaysiakini petang ini.

Petang tadi, Maria dan pengurus sekretariat BERSIH, Mandeep Singh Karpal ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Shahrul berkata beliau akan memimpin orang ramai di Masjid Negara manakala bekas Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan akan menggantikan Maria di Dataran Maybank, Bangsar.

"Ambiga akan berada di sana," katanya, sambil menambah bahawa jawatankuasa pemandu BERSIH akan meneraju perhimpunan besar-besaran itu esok.

Sementara itu, Ambiga mengesahkan beliau hanya akan memimpin orang ramai di Bangsar jika Maria masih ditahan.

Beliau berharap pihak polis akan melepaskan Maria dan Mandeep malam ini.

Sebelum ini, sepasukan polis dari Bukit Aman serta pegawai dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) menyerbu pejabat BERSIH di Petaling Jaya pada kira-kira jam 3 petang.

Serbuan dan tangkapan dibuat selepas ketua polis Khalid Abu Bakar melabelkan kedua-dua perhimpunan BERSIH dan Baji Merah sebagai perhimpunan haram.

Selain KL, BERSIH turut merancang untuk mengadakan perhimpunan di Kuching dan Kota Kinabalu esok.

Dalam perkembangan berkaitan, ADUN PKR Elizabeth Wong, yang menemui mereka di ibu pejabat polis, berkata kedua-dua mereka sihat dan bersemangat.

Dalam posting di Facebook, beliau juga menulis mesej daripada Maria dan Mandeep.

"Mesej Mandeep untuk semua, Enam belas jam lagi untuk menjadikannya sebagai perhimpunan rakyat terbesar! Kita boleh lakukannya!'

"Mesej Maria untuk semua, 'Tiada patah balik! Terus, terus, terus!"

[Baca berita penuh]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.