Hotel, kilang, restoran makanan segera dan pejabat urusan pelancongan adalah antara 41 premis perniagaan di bawah Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang beroperasi tanpa lesen.
Perniagaan yang beroperasi tanpa lesen itu dikelaskan mengikut kategori peniaga tidak membuat permohonan lesen premis perniagaan, peniaga tidak memperbaharui lesen dan permohonan lesen tidak diluluskan oleh pihak Majlis.
"Pengauditan yang dijalankan antara Mac hingga Jun 2016 mendapati pengurusan pelesenan premis perniagaan (di MPSP) pada keseluruhannya adalah kurang memuaskan," menurut Laporan Audit 2015 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini.
Laporan Audit itu bagaimanapun berkata berdasarkan maklum balas Majlis, peniaga yang beroperasi tanpa lesen telah memohon lesen dan masih dalam proses kelulusan MPSP.
Menurut laporan itu kelemahan lain yang ditemui ialah tempoh kelulusan lesen tidak munasabah; kutipan hasil lesen tidak mencapai anggaran yang ditetapkan; pelanggaran syarat lesen; pengurusan kompaun kurang memuaskan; dan pengurusan sistem e-Lesen kurang memuaskan.
Antara pelanggaran syarat lesen yang dikesan ialah melibatkan papan iklan apabila terdapat lima papan iklan yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia iaitu masing-masing satu di Bagan Ajam, Butterworth; Jalan Baru, Perai; Icon City, Juru; Jalan Permatang Batu, Bukit Mertajam; dan Jalan Rozhan, Alma.
"Mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-undang Kecil (Iklan) MPSP 2001 menyatakan Bahasa Malaysia hendaklah digunakan bagi semua iklan sama ada ia sahaja atau bersama apa-apa bahasa lain dalam sesuatu iklan," menurut laporan itu.
Laporan Audit juga berpendapat bahawa pengawasan dan pemantauan MPSP terhadap aktiviti perniagaan tanpa lesen juga adalah kurang memuaskan dan perlu dipertingkatkan bagi mengelak peniaga berniaga tanpa lesen.
Selain itu, lawatan Audit ke 10 pusat siber juga mendapati terdapat pelanggaran syarat lesen pusat siber apabila pusat siber di Lahar Endin, Peniaga membenarkan pelajar berpakaian seragam memasuki pusat itu.
Terdapat juga pusat siber, juga di Penaga, yang berkeadaan gelap dikunjungi pengunjung berumur di bawah 18 tahun serta mempunyai dinding cermin gelap di bahagian luar, menurut laporan berkenaan.
- Bernama
