Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cengkaman parti politik: NUJ setuju kaji selidik Reuters
Diterbitkan:  Nov 22, 2016 6:23 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia, Mohd Taufek Razak berkata, pihaknya bersetuju dengan kaji selidik oleh Institut Pengajian Kewartawanan Reuters (RISJ) mengenai cengkaman parti-parti politik ke atas media di negara ini.

"NUJ sangat bersetuju media arus perdana di negara ini pada umumnya dikuasai oleh parti-parti politik kerajaan terutama The Star, Kumpulan Media Prima, Utusan Malaysia dan beberapa lain yang menguasai pasaran akhbar tempatan.

"Bagaimanapun, NUJ percaya bahawa kebebasan media masih wujud di Malaysia tetapi ia bukan satu kebebasan mutlak.

"Masih ada ruang untuk semak dan imbang dengan pembaca tempatan masih bebas untuk memilih media mana yang boleh dipercayai," kata Mohd Taufek dalam kenyataan.

Kaji selidik itu menunjukkan lebih separuh daripada rakyat Malaysia tidak mempercayai berita yang dibaca dan berpendapat organisasi media di negara ini tidak bebas daripada 'pengaruh politik'.

Sebelum ini, NUJ pernah menyuarakan pendapatnya untuk Umno selaku pemegang saham terbesar Utusan buat masa ini agar melepaskan pegangannya dalam syarikat akhbar Melayu tertua di Malaysia itu.

Dalam kenyataannya, tindakan Umno melepaskan penguasaan saham sekitar 50 peratus yang dimilikinya akan membolehkan pengambil alihan saham oleh pihak lain, ujar majlis tertinggi kesatuan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Taufek berkata, hasil kaji selidik itu bukan sesuatu yang baru dan lebih kepada penekanan semula.

"Semua orang menyedari hakikat bahawa parti-parti politik atau kroni mereka adalah pemegang saham terbesar dalam arus perdana surat khabar.

"Bagaimanapun, ada juga beberapa organisasi media yang tidak dikawal oleh mana-mana parti politik tetapi kurang pengaruhnya ke atas pembaca berbanding media dikawal kerajaan.

"Ini bermakna orang ramai masih boleh mempunyai akses kepada berita seimbang," tambah beliau.

Lihat Komen
ADS