Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA menegur rungutan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkaitan layanannya dalam tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata Maria harus menerima segala cabaran perjuangan.

"Maria Chin dan geng-geng dia ini baru kena tahan 10 hari kecoh di Dataran Merdeka sampai Tun (Dr Mahathir Mohamad) pun turun pergi, pasang lilin semua, apa ni? soal Ibrahim.

"Dah tahu dah (keadaan dalam tahanan), lepas itu nak mengadu, nak tilam, tandas duduk, nak telur ayam kampung dua biji setiap pagi.

“Saya tak mengadu, nak jadi perjuang berani tanggunglah," kata Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabat PERKASA, Kuala Lumpur hari ini.

Ibrahim pernah ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini. Akta kontroversi itu kemudian digantikan oleh Sosma.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang diketuai oleh pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail hari ini berjumpa dengan Maria kita-kira setengah jam.

Suhakan berkata Maria dikenakan kurungan berseorangan, diberikan katil tanpa tilam dan terpaksa membersihkan diri dengan air sejuk.

Maria, 60, ditahan selepas sepasukan polis dari Bukit Aman, bersama-sama pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, menyerbu pejabat BERSIH di Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Maria juga sedang disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Ini berikutan pendedahan bahawa gabungan reformasi pilihan raya itu menerima dana daripada Open Society Foundations, yang dikaitkan dengan jutawan George Soros.

Satu permohonan habeas corpus itu difailkan semalam bagi mendapatkan pembebasan beliau. Pengurusan kes itu ditetapkan esok.

Mengulas lanjut Ibrahim berkata keadaan hari ini begitu berbeza sekali dengan beliau semasa menjadi tahanan ISA sebelum ini.

Ibrahim berkata beliau sebelum ini ditahan selama 60 hari dan juga selama dua tahun namun tidak pernah merungut apatah lagi memohon habeas corpus.

"Teruk saya dekat dalam tak ada siapa peduli pun.

"Orang perjuangan patut terimalah cabaran, kalau tidak jangan dirikan rumah di tepi laut.

"(Selama) 60 hari duduk dalam bilik yang saya tak tahu malam ke siang. Dua kali, tidur atas simen, tandas busuk tuhan saja yang tahu.

"Ini ada orang masuk tahanan nak tilam, nak penghawa dingin baik minta duduk di hotel lima bintang suruh kerajaan bayar pada sesiapa yang kena tahan," keluh Ibrahim.

Lihat Komen
ADS