Tujuh kes baru jangkitan malaria dikesan di penempatan Orang Asli Pos Kemar, Gerik menjadikan jumlah keseluruhan positif wabak itu meningkat kepada 71 kes berbanding 64 kes semalam.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata kes malaria di Kampung Senangin meningkat kepada 58 berbanding 53 kes semalam dan dua kes baharu turut dikesan di Kampung Rantau.
"Jumlah jangkitan di Kampung Akei dan Kampung Ralak kekal dengan empat dan satu kes manakala di Kampung Lediau dan Kampung Rantau masing-masing juga kekal dengan tiga kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata jumlah pesakit yang dimasukkan ke Hospital Gerik ialah seramai 62 orang dan empat pesakit di Hospital Kuala Kangsar manakala selebihnya masih dalam proses penghantaran.
Sementara itu, Dr Juita menasihatkan orang ramai yang bekerja atau menjalankan aktiviti di sekitar kawasan penempatan Orang Asli perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Beliau berkata mereka digalakkan menggunakan kelambu semasa tidur di kawasan itu selain menggunakan lingkaran nyamuk, semburan aerosol atau pengasapan dari unggun api di sekitar kawasan aktiviti bagi menghalau nyamuk dewasa.
"Jika terlibat dengan aktiviti luar, individu itu perlu memakai pakaian berlengan dan berseluar panjang serta menggunakan 'repellent' dalam bentuk losyen atau semburan.
"Mereka juga perlu memastikan persekitaran tempat aktiviti sentiasa dalam keadaan bersih dan setiap individu perlu mengamalkan kebersihan diri sepanjang masa," katanya.
Selain itu, katanya individu yang mengalami gejala demam, keletihan, sakit kepala atau badan selepas terlibat dengan aktiviti di kawasan itu perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran serta menjalankan saringan malaria.
- Bernama
