Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Satu pasangan ahli perniagaan terkemuka didakwa menipu lebih 200 pelabur dengan menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan kementerian kewangan.

Bendahari agung MIC S Vell Paari, dalam satu sidang akhbar hari ini, mendedahkan satu rakaman audio 32 minit didakwa daripada perbualan antara G Gnanaraja dan wakil-wakil syarikat pelaburan pertukaran asing.

Antara dakwaan yang dibuat oleh Gnanaraja adalah bahawa yayasannya - Yayasan Usaha Ventures Malaysia - dikaitkan dengan Kementerian Kewangan.

Gnanaraja dan isterinya Geethanjali G bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan berkata ia 'tidak benar sama sekali'.

"Kami tidak menipu dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada penipuan tersebut. Kami anggap dakwaan itu sebagai fitnah, "kata pasangan itu dalam satu kenyataan bersama mereka.

Vell Paari dalam sidang medianya berkata pasangan itu bekerjasama dengan syarikat pelaburan pertukaran asing, kononnya untuk mendapatkan lesen perbankan.

Rancangannya adalah agar yayasan itu menjadi sebuah syarikat induk perniagaan.

Untuk mendapatkan lesen perbankan bagi yayasan berkenaan, ia perlu menunjukkan perolehan sebanyak RM50 juta.

Untuk tujuan itu, lelaki tersebut memberitahu kepada syarikat pelaburan pertukaran asing agar mengarahkan pelabur mendepositkan dana terus ke yayasan itu.

Syarikat berkenaan kemudian memasukkan RM5 juta ke yayasan itu pada Jun dan RM2.2 juta lagi dimasukkan secara berasingan oleh pelabur yang dikaitkan dengan syarikat itu.

Ini adalah untuk menunjukkan bahawa yayasan itu mempunyai kewangan yang kukuh dan pasangan itu berjanji untuk memulangkan jumlah keseluruhan sebanyak RM7.2 juta.

Bagaimanapun, pada bulan lalu, mereka hanya memulangkan RM5 juta kepada syarikat dengan kira-kira RM2.2 juta belum dibayar kepada pelabur terbabit.

Bagaimanapun, pasangan itu menafikan mereka berkata mereka hanya mendapat tahu kemudian bahawa syarikat pelaburan pertukaran asing itu tanpa kebenaran dan pengetahuan mereka, membuat rayuan di Internet agar pelaburan didepositkan ke yayasan itu.

Selepas mendapati deposit berkenaan, pasangan itu berkata peguam mereka berurusan dengan firma undang-undang syarikat itu untuk mendapatkan senarai pendeposit.

"Peguam kami juga menyatakan dengan jelas bahawa Yayasan mempunyai dana dan sedia mengembalikan RM2.2 juta sepenuhnya; kami perlukan senarai pendeposit untuk memastikan pulangan penuh dan semua wang tersebut.

"Peguam kami menekankan keperluan untuk ini, atau jika tidak, ia mungkin perlu untuk mengambil prosiding mahkamah bagi memastikan deposit setiap pelabur dikembalikan sepenuhnya. Bagaimanapun, setakat ini, tidak ada sebarang respon oleh firma undang-undang itu," kata mereka.

Pasangan itu juga berkata mereka telah meminta bantuan dari bank dan masih menunggu maklumat lanjut daripada bank mengenai perkara itu.

Sebagai seorang pemimpin MIC, Vell Paari berkata adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membersihkan nama perdana menteri dan isterinya kerana pasangan itu menggunakan nama pengerusi BN itu untuk faedah mereka.

Vell Paari juga mendakwa beliau diugut oleh pasangan itu apabila dia bertegas bahawa mereka perlu mengembalikan baki RM2.2 juta.

"Orang India telah ditipu, Orang India yang berpendapatan rendah. Saya tidak mempunyai apa-apa isu dengan mereka (pasangan itu) tetapi selepas saya mendapat tahu perkara ini, saya tidak boleh membiarkan ia berlalu begitu sahaja," kata Vell Paari.

Pemimpin MIC berkata beliau telah menerima notis undang-undang daripada pasangan itu yang memberitahu supaya berhati-hati dalam percakapannya ketika sidang akhbar hari ini atau menerima risiko disaman.

Bekas bendahari agung MIC R Ramanan, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata selain Vell Paari, beliau dan pegawai khas beliau juga menerima notis undang-undang itu.

"Saya mahu memberi satu amaran - jangan cuba untuk mengugut sesiapa di sini.

"Cabaran saya kepada peguam itu adalah supaya mereka menyaman saya. Vell Paari dan saya akan pergi ke mahkamah dan membuktikan kes kami," kata Ramanan.

Tindakan undang-undang

Sementara itu, peguam L Prakash akan mewakili pelabur yang akan memulakan tindakan undang-undang terhadap pasangan berkenaan.

Ramanan berkata beliau dan Vell Paari akan menanggung semua yuran guaman.

Pasangan itu, kata mereka telah mengarahkan peguam untuk menasihati dan melakukan prosiding mahkamah yang sesuai.

"Kami mahu jelaskan juga bahawa kami juga mempunyai hak untuk menyaman mana-mana orang lain jika kenyataan fitnah diedarkan atau diterbitkan, termasuk dalam mana-mana laporan dalam media atau dalam mana-mana posting internet," katanya.

Pelabur yang telah dilaporkan menjadi mangsa termasuk pesakit kanser, pelajar dan pesara. Seorang pelabur yang didakwa ditipu berkata beliau telah melaburkan RM4,000 dan menerima pulangan sebanyak RM6,000.

Benedict Chris, 23, telah dijanjikan bahawa jumlah wang yang dilaburkannya akan berganda dalam masa empat bulan.

Pelajar itu berkata ibunya yakin apabila melihat pulangan awal dan telah melabur RM12,000 tetapi masih belum menerima apa-apa sebagai balasan.

Walaupun beliau telah menerima beberapa pulangan daripada pelaburannya, Benedict berkata beliau datang hari ini kerana selain dari ibunya, ramai kawan-kawannya yang telah menggunakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional untuk melabur dalam skim itu.

S Suyampraghsam, 61, telah melabur RM280,000 wang pencen dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada yayasan itu.

Setelah menerima kembali lebih RM100,000 daripada skim tersebut, pesara itu bagaimanapun berkata, pembayaran terakhir diterimanya adalah pada bulan Jun.

"Kalau dapat modal kembali, ia sudah mencukupi," katanya.

Malaysiakini telah menyekat nama pasangan berkenaan dalam versi lebih awal. Malaysiakini kini menerbitkan nama-nama mereka selepas mendapatkan respon.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS