BERITA Malaysiakini

Ganggu penguat kuasa: AG rayu hukuman lebih berat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan bagi membolehkan pasangan suami isteri yang mengganggu dan menakut-nakutkan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dikenakan hukuman lebih berat.

Dalam kenyataan media hari ini Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000 yang diputuskan Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat lalu adalah terlampau ringan berbanding kesalahan dilakukan mereka.

"Walaupun kedua-dua tertuduh mengaku bersalah, hukuman yang setimpal hendaklah dikenakan demi memberi pengajaran kepada mereka di samping menjadi teladan kepada yang lain agar tidak melakukan perbuatan ini," katanya.

Pada 25 November lalu Lor Ka Hoo dan isterinya, Tan Sit Fun, dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan ekoran klip video yang tersebar melibatkan mereka dengan seorang penguat kuasa MBSA.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Lor dan Tan dituduh menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan seorang pegawai MBSA daripada menjalankan kewajipannya.

Selepas mengaku salah, pasangan terbabit masing-masing dihukum penjara 14 hari dan denda RM3,000 atau penjara tujuh hari jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan mereka didengar di mahkamah.

Melalui klip video yang menjadi viral itu, seorang wanita dilihat mencekak belakang baju seorang penguat kuasa wanita dan enggan melepaskannya, manakala seorang lelaki merakam gambarnya dari jarak dekat.

Pegawai MBSA itu - dikenali sebagai Nurul Ain Isa - juga dihalang daripada meninggalkan tempat itu kerana laluannya dihalang lelaki terbabit.

Seorang lagi penguat kuasa wanita cuba membebaskan Nurul Ain tetapi gagal.

Apandi berkata rayuan terhadap sabitan itu sudah difailkan pada Jumaat lalu, iaitu pada hari sama majistret menjatuhi hukuman ke atas Lor dan Tan.

[Baca berita asal]