Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tindakan polis yang menggunakan Seksyen 147 Kanun Keseksaan untuk menyiasat 11 individu yang terlibat dalam serangan ke atas Khalid Samad di luar bangunan parlimen minggu lalu dipersoalkan peguam ahli politik itu.

Menurut Zulhazmi Sharif, siasatan terhadap penyokong Datuk Tajuddin Abdul Rahman itu sepatutnya dibuat mengikut Seksyen 124 kanun yang sama, iaitu kesalahan berkaitan keganasan.

"Kanun Keseksaan memperuntukkan satu peruntukkan khas tentang kesalahan menyerang anggota parlimen, iaitu Seksyen 124," katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Amanah Negara (AMANAH) di Kuala Lumpur, hari ini.

Seksyen 147 Kanun Keseksaan adalah kesalahan berkaitan merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian pada 24 November lalu Khalid cuba diserbu sekumpulan orang mendakwa dari Pasir Salak, Perak, ekoran pertikaman lidah membabitkan perkataan "sial" antara anggota parlimen Shah Alam itu dengan Tajuddin.

Timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu adalah ketua Umno Pasir Salak merangkap anggota parlimen kawasan berkenaan.

Polis kemudian menahan 11 suspek - termasuk tiga wanita - untuk membantu siasatan. Seorang daripada mereka ialah anak Tajuddin sendiri.

Kata Zulhazmi pihaknya "tidak faham" mengapa polis menyiasat penyerang Khalid atas kesalahan merusuh kerana mereka bukan saja berhimpun, malah menyerang anggota parlimen serta mencederakan petugas keselamatan.

"Saya tak faham kenapa polis tak siasat mengikut Seksyen 124.

"Ia kesalahan yang serius dan tak boleh diletakkan dibawah Seksyen 147," katanya.

Menurut Zulhazmi Seksyen 124 Kanun Keseksaan ialah kesalahan keganasan yang boleh disiasat menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

"Kita tidak setuju dengan pelaksanaan Sosma tetapi tindakan mereka ke atas Khalid adalah kesalahan yang serius, sebab itu ia perlu diletakkan di bawah kesalahan keselamatan," kata beliau.

Pada Khamis lalu, sekumpulan individu mengganggu Khalid Samad.

Mereka tidak puas hati dengan tindakan anggota parlimen Shah Alam itu memaki timbalan menteri Umno Tajuddin Abdul Rahman sebagai perkataan 'sial' semasa persidangan Dewan Rakyat.

Khalid memanggil Tajuddin sedemikian selepas beliau berkata bahawa anggota parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai satu-satunya wanita yang ada “Kok”.

Anak Tajuddin, Faisal, antara 11 orang yang disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Mengulas lanjut, Khalid Samad turut mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan bagi membolehkan pasangan suami isteri yang mengganggu dan menakut-nakutkan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dikenakan hukuman lebih berat.

Khalid berkata, tindakan itu jelas disifatkan sebagai perkauman selain dwistandard dengan apa yang berlaku pada dirinya ketika diserang di Parlimen.

"Ramai persoal adakah AG bersifat perkauman ekoran rayuan yang dibuat beliau ke atas pasangan terbabit. Undang-undang mesti bebas kaum dan siapa saja,' kata Khalid.

Dalam kenyataan media, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata, hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000 yang diputuskan Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat lalu adalah terlampau ringan berbanding kesalahan yang dilakukan pasangan terbabit.

Pada 25 November lalu Lor Ka Hoo dan isterinya, Tan Sit Fun, dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan ekoran klip video yang tersebar membabitkan aksi mereka terhadap seorang penguat kuasa MBSA.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Lor dan Tan dituduh menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan seorang pegawai MBSA daripada menjalankan kewajipannya.

Selepas mengaku salah, pasangan terbabit masing-masing dihukum penjara 14 hari dan denda RM3,000 atau penjara tujuh hari jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS