Umno mesti belajar daripada kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden AS dengan memahami "imaginasi pengundi" kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Walaupun tidak berpengalaman dalam politik dan membawa dasar perkauman, kata ketua pemuda Umno itu, Trump masih berjaya memenangi pilihan raya awal bulan ini kerana dia dilihat sebagai satu kuasa baru dalam politik.
Ini adalah sesuatu yang Umno perlu belajar dari untuk memberi nafas baru sendiri menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Mengapa Trump boleh mengalahkan (Hillary) Clinton dan menjadi upset terbesar demokrasi global dalam dekad ini?
"Antaranya - Trump membawakan sebuah harapan yang baru, Clinton bawa imej yang basi. Clinton dilihat terlalu sebati dengan tradisi - berkhidmat dalam kerajaan (Barack) Obama, isteri kepada bekas presiden, dan sentiasa muncul di mata rakyat sekian lama.
"Trump pula datang tanpa pengalaman dalam politik, tak pernah pegang sebarang jawatan dan idea-ideanya, walaupun kurang bijak dan rasis, dilihat berbeza.
"Pengundi Amerika melihat beliau lebih segar, produk baru, bukan dinosaur yang hampir pupus dengan idea yang basi," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar perhimpunan Pemuda Umno Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Pemuda memulakan sidang tahunan mereka serentak dengan wanita dan puteri Umno hari ini sebelum perhimpunan agung ke-70 berlangsung sehingga 3 Disember.
Datuk Seri Najib Razak selaku presiden parti akan menyampaikan ucapan dasar esok.
Menurut Khairy apa yang berlaku di AS perlu dipelajari Umno iaitu mengenai proses peremajaan semula parti menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Biarlah kita parti yang sudah 70 tahun sekalipun, asalkan kita boleh capture the imagination of the voters dan bawa pendekatan yang segar dan baru.
"Pemimpin yang datang dengan idea baru. Calon yang ketrampilannya, hujahnya pun baru. Yang mendekati rakyat dengan gerak kerja baru. Yang bila bercerita tentang visi peribadi - penuh idea baru.
"Senang cerita, kalau nak semuanya baru, bagilah lebih tempat untuk calon muda," katanya.
