Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Bebaskan Orang Asli dan runding semula - HARAPAN
Diterbitkan:  Nov 30, 2016 6:26 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN)  hari ini menzahirkan rasa terkejut dan prihatin dengan penangkapan lebih 40 Orang Asli yang ditahan dalam operasi merobohkan sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai di hutan simpan Balah, Gua Musang semalam.

Dalam kenyataan yang ditandatangani bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu, mereka  menyeru kerajaan negeri Kelantan agar bertindak adil, tegas dan ikhlas.

"Kerajaan negeri perlu membela Orang Asli dengan meminta pihak berkuasa membebaskan semua mereka yang ditangkap.

"Selepas dibebaskan, semua yang terlibat perlu kembali semula ke meja rundingan bagi mencari kemenangan untuk kedua-dua pihak," kata mereka dalam kenyataan, hari ini.

Orang Asli yang ditahan itu dilapor direman masing-masing antara dua dan tiga hari di Mahkamah Majistret, di Gua Musang bagi membantu siasatan polis, lapor Berita Harian.

Dalam prosiding itu, seramai 17 Orang Asli ditahan reman dua hari manakala selebihnya selama tiga hari, menurut harian itu lagi.

Jabatan Perhutanan semalam menjalankan operasi bagi mengosongkan dua sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai yang dibina oleh penduduk Orang Asli sejak September lalu untuk menyekat balak dibawa keluar.

Pagi ini, kira-kira 50 Orang Asli berarak ke bangunan mahkamah di Gua Musang bagi menyatakan sokongan kepada aktivis-aktivis itu.

Mengulas lanjut, Pakatan Harapan berkata, tangkapan aktivis Orang Asli berkenaan mengundang reaksi yang kuat daripada masyarakat umum dan antarabangsa.

"Kami ingin bertanya, apakah proses perundingan telah sampai ke penghujung sehinggakan tindakan sedemikian rupa diambil terhadap penduduk Orang Asli.

"Tindakan kerajaan negeri dan pihak berkuasa menangkap Orang Asli yang mempertahankan hak mereka telah dan akan terus dikecam oleh rakyat prihatin.

"Kami berkeyakinan penuh bahawa masih ada ruang untuk mencari jalan penyelesaian daripada bertindak sedemikian rupa demi mengelakkan kesan buruk kepada Orang Asli dan kerajaan negeri sendiri," tambahnya.

Lihat Komen
ADS