Mula-mula Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, mencadangkan supaya jawatan naib presiden parti dimansuhkan. Kemudian bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Ghafar Baba, pula menyarankan agar jawatan timbalan presiden dihapuskan.
Kedua-duanya memberikan alasan yang sama, iaitu pertandingan merebut jawatan-jawatan tersebut memecah-belahkan parti.
Saranan yang mana hendak diikut? Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusannya, iaitu kedua-dua jawatan itu diperlukan dan akan dikekalkan. Keputusan Dr Mahathir itu melegakan Timbalan Presiden, Datuk Abdullah Badawi (Pak Lah), dan tiga Naib Presiden, Tan Seri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Seri Muhammad Mohd Taib (tiga sekawan).
Adakah ini bermakna saranan Rafidah dan Ghafar itu akan mati begitu sahaja? Mungkinkah ia akan dibangkitkan semula dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti? Rafidah sebelum ini telah menegaskan dia akan membawa usul itu ke mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang. Tetapi dengan adanya keputusan tegas daripada Presiden UMNO itu, Rafidah yang merupakan pemimpin kesayangan Dr Mahathir dirasakan tidak akan melawan cakap bosnya itu.
Dr Mahathir nampaknya mahu isu pemansuhan jawatan nombor dua dan tiga dalam Umno ini dilupakan segera. Beliau tidak mahu ia diperbesar-besarkan kerana tidak mahu krisis baru melanda parti itu.
Jika usul ini dilayan hingga dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi dan ke perhimpunan agung parti, banyak kesan buruk akan timbul. Di penghujung pemerintahannya, Dr Mahathir mahu Umno dilepaskan kepada penggantinya dalam keadaan yang stabil dan berpengaruh.
Kalau usul Rafidah dan Ghafar ini diterima, pelbagai implikasi akan menimpa Umno. Jika kedua-dua jawatan itu dihapuskan, belum tentu Umno tidak berpecah. Mungkin ia menjadi lebih parah daripada sekarang kerana satu konfrantasi baru akan wujud antara tiga sekawan dengan Pak Lah.
Andai kata jawatan naib presiden Umno dihapuskan sebelum tahun 2003, tiga sekawan itu tentunya tidak akan berdiam diri. Pasti seorang akan mencabar Pak Lah dalam pemilihan pucuk pimpinan parti akan datang. Kalau ini berlaku, Umno akan sekali lagi menghadapi krisis dalaman yang serius kecualilah jika peraturan melarang pertandingan bagi jawatan nombor satu dan dua dalam parti dikuatkuasakan sekali lagi.
Ada pihak berpendapat jawatan naib presiden itu wajar ditiadakan kerana dari segi pengurusan parti ia tidak mempunyai apa-apa fungsi. Sebaliknya ia hanya satu tradisi bagi menentukan kesinambungan pucuk pimpinan.
Mereka berpendapat usul Rafidah itu nampak radikal tetapi wajar dipertimbangkan.
Kesan yang sama juga akan dihadapi jika cadangan Ghafar diterima. Tiga sekawan mungkin tersenyum lebar tetapi Pak Lah akan makan hati. Kalaulah beliau "diturunkan pangkat "menjadi seorang naib presiden (kita andaikan jawatan naib presiden ditambah mejadi empat) dan tetap dikekalkan sebagai timbalan perdana menteri, belum tentu hati beliau dan para penyokongnya akan terubat.
Tentu akan timbul pelbagai tanggapan dari para penyokong Pak Lah menuduh presiden parti sengaja mahu memperlekahkan kedudukan timbalannnya. Tindakan menyamatarafkan kedudukan Pak Lah dengan tiga sekawan juga akan dilihat sebagai perbuatan mahu melaga-lagakan mereka. Dr Mahathir juga akan dituduh sebagai mabuk kuasa kerana mengumpulkan semua kuasa di tangan presiden.
Dr Mahathir sudah nampak bahaya ini lantas beliau cepat-cepat menegaskan keputusannya dan mahu isu ini ditutup. Bagaimanapun di kalangan saf kepimpinan Umno, kedua-dua usul Rafidah dan Ghafar ini masih dibincangkan. Soalan paling polular yang dibangkitkan ialah mengapa secara tiba-tiba isu jawatan dalam Umno ini ditimbulkan? Mereka bertanya siapa yang mendalanginya. Ramai tidak percaya usul itu datang sendiri daripada Rafidah.
Ada yang membuat tanggapan usul itu diilhamkan oleh pihak yang lebih tinggi yang merasakan kedudukannya belum cukup kukuh walaupun telah menjawat jawatan tertinggi dalam parti. Pemerhati yang lebih kritikal dan radikal tanpa sega silu menuduh ilham Rafidah itu datang dari kem Pak Lah.
Mereka berhujah, Pak Lah merasakan kedudukannya tidak begitu selamat apabila tiada seorangpun orangnya terpilih sebagai naib presiden dalam pemilihan pada 11 Mei lalu. Kemenangan tiga sekawan yang pernah duduk serakit dalam "team Wawasan" yang didukung oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pemilihan tahun 1993 itu dikatakan menjadi ancaman kepada masa depan politik Pak Lah.
Lalu kononnya para penyokong Pak Lah merangka strategi awal untuk menyekat pengaruh ketiga-tiga naib presiden itu terutamanya Najib yang mempunyai pengaruh kuat di peringkat akar umbi. Lantas diilhamkan supaya seseorang membangkitkan usul supaya jawatan nombor tiga dalam Umno itu dihapuskan.
Pada perkiraan para penyokong Pak Lah, jika jawatan tersebut dihapuskan, ancaman daripada ketiga-tiga tokoh itu dapat dikurangkan kerana mereka akan "diturunkan pangkat" dan diserapkan menjadi ahli Majlis Tertinggi sahaja. Bila sudah menjadi ahli Majlis Tertinggi tekanan kepada presiden dan timbalan presiden untuk mengangkat secara automatik seorang naib presiden sebagai pembantu mereka (jika berlaku kekosongan dalam satu daripada jawatan tertinggi itu) tidak ada lagi.
Dr Mahathir atau Pak Lah boleh memilih seorang daripada 35 anggota Majlis Tertinggi yang dirasakan layak dan disukainya untuk menjadi pembantunya. Kononnya begitulah perhitungan politik para penyokong Pak Lah.
Cadangan Ghafar pula tidak begitu diperkatakan kerana ia datang daripada orang tua yang sudah tidak berkepentingan. Cadangan bekas timbalan perdana menteri dipandang ikhlas dan tidak mempunyai agenda tersirat.
Bagaimanapun, kalau dibandingkan antara cadangan Rafidah dengan usul Ghafar itu, saranan tokoh veteran Umno itu nampak lebih praktikal. Memang benar kata Ghafar itu, perebutan bagi jawatan timbalan presiden meninggalkan kesan yang lebih besar kepada parti. Kerusi timbalan presiden dianggap sebagai tangga keramat untuk menjawat jawatan presiden. Walaupun tiga orang bekas timbalan presiden kecundang di tengah jalan, namun masih ramai yang kepingin kerusi tersebut kerana mereka tahu Dr Mahathir tetap akan berundur satu hari nanti.
Risiko atau kepentingan yang dipertaruhkan untuk merebut jawatan nombor itu lebih besar. Oleh itu mungkin cadangan Ghafar itu wajar dipertimbangkan. Dengan tiadanya jawatan timbalan presiden, calon timbalan perdana menteri boleh diambil daripada para naib presiden yang memenuhi merit yang ditetapkan.
Pemilihan timbalan perdana menteri dari kalangan naib presiden juga akan menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan mereka dan ini akan mengelakkan tokoh yang tidak berkesan daripada terpilih sebagai timbalan perdana menteri atau perdana menteri.
Dua cadangan yang berani telah ditimbulkan dan terpulanglah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Umno dan ahli-ahlinya untuk menanganinya. Tepuk dada tanyalah minda.
Begitulah Umno, walaupun perhimpunan agung dan pemilihan pucuk pimpinan parti telah berakhir pada bulan Mei lalu, namun ia masih bergolak. Satu demi satu usul yang radikal muncul. Usul dan isu apa pula agaknya akan ditimbulkan selepas ini? Semoga selepas ini tidak ada ahli Umno membuat usul meminta parti itu dibubarkan.
AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita pro-kerajaan". Kini memilih menjadi seorang penulis bebas untuk mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.
