Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

ULASAN l Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas panjang lebar sesi penggulungan presiden Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2016. Beliau umpama gila talak apabila menceritakan nostalgia semasa berada dalam Umno.

"Sepanjang ingatan saya, perhimpunan agung adalah tempat presiden Umno membicarakan hal-hal berkaitan kedudukan orang Melayu, agama Islam, masa depan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

“Tetapi kali ini presiden Umno menuntut seluruh ahli berbai'ah dan memberi walak kepadanya secara membuta tuli dan tanpa soal," katanya.

Muhyiddin memang gila talak. Untuk makluman beliau, perhimpunan agung 2016 memang sarat dengan perbahasan yang melibatkan soal dasar dalam kerajaan dan parti baik dalam isu pendidikan, ekonomi, agama dan bangsa.

Dalam sesi penggulungan, presiden Umno memang memberi respon terhadap isu yang dibahaskan termasuk "New Deal" untuk Felda dan sebagainya.

Muhyiddin mungkin terlepas suasana tersebut apatah lagi perhimpunan agung Umno 2016 amat meriah dan diikat dengan rasa ukhuwah yang mendalam berbanding tahun lalu yang cuba disabotaj oleh Muhyiddin.

Beliau menuduh Najib menuntut seluruh ahli Umno memberi walak kepada beliau secara membabi buta?

Tahukah Muhyiddin bahawa Saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam ucapan penggulungannya menyatakan dengan jelas "Pemuda tidak mengikrarkan walak secara membabi buta?”

Kesetiaan yang dijanjikan ialah seperti yang difirmankan dalam Surah An Nisa iaitu kesetiaan selagi pemimpin tidak melakukan perkara di luar batasan.

Lantas Khairy bertanya secara spontan kepada semua perwakilan "Adakah presiden Umno minta kita lakukan perkara bukan-bukan atau yang dilarang Islam?”

Semua mereka menjawab "tidak”.

Ssemua ini berlaku kerana Muhyiddin tidak mengikuti penuh apa yang berlaku dalam perhimpunan agung Umno 2016 dan inilah penyakit Muhyiddin kerana percaya kepada khabar angin seperti mana dia mempercayai fakta salah mengenai 1MDB sehingga dia terpelanting keluar daripada Umno dan kerajaan.

Kesetiaan kepada Najib bukan kerana taksub kepada individu. Tetapi kesetiaan kepada institusi presiden.

Kesetiaan kerana beliau setia kepada perjuangan parti. Sebab itu bila Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Hussien Onn, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam keluar parti mereka dianggap tidak setia kepada perjuangan parti.

Maka tidak ramai yang ikut keluar menyertai mereka. Mereka setia pada pemimpin kerana pemimpin itu setia kepada perjuangan parti.

Begitu juga apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin keluar parti dan menubuhkan parti baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sebenarnya Mahathir dan Muhyiddin tidak setia kepada perjuangan parti.

Sebab itu ahli Umno kekal dalam Umno. Hanya yang kecewa sahaja akan menyertai mereka berdua. Mereka itulah yang setia membuta tuli kepada Mahathir dan Muhyiddin.

Saya ingin mencabar Muhyiddin tolong nyatakan berapa ribu ahli Umno sedia ada yang telah menyertai PPBM?

Sebab itu apabila Saidina Omar mendengar berita bahawa Rasulullah telah wafat, dia yang sedih kerana kecintaannya kepada Rasulullah telah mengangkat pedangnya dan berkata "siapa yang berani mengatakan Rasulullah telah wafat akan ku pancung dengan pedang ini"

Apabila Saidina Abu Bakar mendengar kejadian tersebut, dia lantas menemui Omar dan berkata kepadanya "wahai Omar, jika kamu Islam kerana Muhammad, Muhammad sudah tiada. Tetapi jika kamu Islam kerana Allah, Allah tetap ada".

Saidina Omar yang kesal di atas perbuatannya menangis sehingga pedang di tangannya terjatuh.

Maka begitulah Umno.

Jika mereka Umno kerana individu, seperti Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, individu itu sudah tiada. Tetapi jika mereka Umno kerana perjuangan, perjuangan Umno tetap ada.

Kesimpulannya ahli Umno setia kepada Najib kerana Najib setia pada perjuangan Umno. Itu bukan setia membabi buta.

Itu yang tidak difahami oleh Muhyiddin. Sebab itu bila dia keluar Umno dan meninggalkan pendiriannya "I am Malay first", tiada siapa yang mahu menjejakinya termasuk ahli Umno di Pagoh.

Mereka kekal setia dalam Umno. Bukan kerana taksub kepada Najib tetapi taksub kepada perjuangan Umno.

Kerana menolak kesetiaan membabi butalah ahli Umno tidak mahu keluar meninggalkan Umno dan ikut jejak Mahathir dan Muhyiddin.

Dulu Muhyiddin berani berkata "I am Malay first" kini segala galanya berubah.

Selayaknya slogan baru beliau ialah "I am Lim Kit Siang first" kerana Lim adalah ketua de facto pemimpin pembangkang. Lim Kit Siang yang mencatur segala galanya.


Datuk Mohd Puad Zarkashi adalah ahli Majlis Tertinggi Umno

Lihat Komen
ADS