Kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin buruk setiap hari dan memerlukan pembedahan segera, kata peguamnya dalam surat kepada Menteri Dalam Negeri hari ini.
"Kami telah dinasihatkan oleh doktor-doktor beliau bahawa keadaannya tidak akan pulih tanpa pembedahan segera dan percubaan melengah-lengahkan pembedahan tersebut boleh menyebabkan menjadi lumpuh," kata Sankara Nair.
Peguam itu, bersama anak bekas timbalan perdana menteri itu Nurul Izzah Anwar, menghantar sendiri surat rayuan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di pejabatnya di Putrajaya petang tadi.
Menurut surat itu, satu salinannya diperolehi malaysiakini , Anwar mengadu mengalami kesakitan yang berlarutan setiap hari akibat kesan sampingan ubat-ubatan yang diambilnya.
Bekas pemimpin Umno itu kini mengalami bengkak kaki dan tangan kerana kadar kandungan air berlebihan.
Menurut Sankara, surat itu meminta Abdullah menggunakan kuasanya, sebagai Menteri Dalam Negeri, untuk campur tangan dan mengkaji semula keputusan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Omar Mohamed Dan baru-baru ini.
Dalam surat jawapan kepada Anwar bertarikh 19 Jun, Omar menyebutkan rayuan ahli politik itu ditolak kerana permohonannya tidak mematuhi Aturan 111 di bawah Kaedah-kaedah Penjara 2000 walau beberapa peruntukan di bawah Akta Penjara membolehkan beliau dibebaskan.
Pada 12 Jun, Anwar memohon Omar menggunakan kuasanya, di bawah peruntukan Akta Penjara, bagi membolehkan beliau menerima rawatan sakit tulang belakang di Jerman.
Hujah Omar 'tidak boleh diterima'
Seksyen-seksyen 37, 42 dan 43 akta itu membenarkan seseorang banduan dibebaskan dengan jaminan kerajaan bagi mendapatkan rawatan, termasuk di luar negara.
Dalam surat hari ini, peguam Anwar berhujah alasan-alasan yang dikemukakan oleh Omar "tidak boleh diguna pakai dan tidak merujuk isu-isu yang diketengahkan oleh anak guam kami."
Sankara berkata, dalam surat itu, pakar bedah Dr Thomas Hoogland yang dipilih Anwar sukar menjalankan rawatan di Hospital Kuala Lumpur seperti telah dijelaskan dalam satu surat 28 Mac lalu.
Oleh itu, katanya lagi, kesediaan HKL untuk membekalkan peralatan pembedahan agar rawatan itu boleh dijalankan di Kuala Lumpur "tidak timbul sama sekali."
Kerajaan membenarkan pakar itu menjalankan pembedahan di HKL jika Anwar bertegas untuk menerima kaedah rawatan 'pembedahan mikro endoskopik'. Kerajaan juga menawarkan kaedah pembedahan biasa yang didakwa Anwar lebih berisiko tinggi berbanding rawatan pilihannya di Alpha Klinik, Munich.
Bekas pemimpin negara itu pernah dirawat di HKL mulai 25 November hingga 10 Mei lalu dan dibawa pulang ke Penjara Sungai Buloh selepas menolak tawaran kerajaan itu.
Menurut surat yang sama, Anwar akan mengambil tindakan mahkamah jika Menteri Dalam Negeri tidak memberikan sebarang jawapan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh surat rayuan ini.
Bagaimanapun Perdana Menteri, dalam satu pertemuan dengan tiga pemimpin pembangkang 24 Mei lalu, berkata keputusan tidak membenarkan Anwar dirawat di luar negara adalah muktamad.
