Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 20 November 2016 seorang wanita dicabul tiga remaja yang mengekorinya semasa pulang ke rumah. Tarikh 25 Oktober 2016 pula ada kes mengupah junior melakukan seks oral dengan RM3!

Perbuatan ini dilakukan ke atas seorang pelajar maahad tahfiz yang menjadi mangsa pemuas nafsu kepada seorang pelajar senior berusia 13 tahun di di Pasir Puteh.

Pada 13 Oktober lalu, dua lelaki berusia 60-an dan 30-an ditahan polis dipercayai terbabit dalam kes rogol dan cabul pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Batu Berendam.

Difahamkan kedua-dua lelaki terbabit adalah datuk dan bapa saudara mangsa.

Saban hari, boleh dikatakan pada setiap helaian akhbar pasti ada mencoretkan kisah gangguan seksual yang berlaku di kalangan masyarakat kita. Lebih membimbangkan, mangsanya terdiri daripada mereka yang masih bersekolah rendah atau awal sekolah menengah. 

Apa yang lebih mengejutkan, pemangsa terdiri daripada mereka yang sepatutnya melindungi kanak-kanak atau remaja, seperti datuk, bapa saudara atau bapa kandung.

Masalah ini perlu dipandang serius agar keharmonian masyarakat dapat dipelihara dan institusi kekeluargaan dapat diperkukuhkan.

Pendidikan seksual di sekolah

Sebelum kita berbincang lebih jauh, ingin penulis nyatakan di sini, masalah yang diutarakan di atas telah diambil peduli oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu pihak yang menjadikan pendidikan jasmani sebagai subjek yang wajib dipelajari di sekolah.

KPM juga telah melaksanakan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial (PEERS) sejak 1989 di sekolah menengah dan sejak 1994 di sekolah rendah, khususnya melalui mata pelajaran pendidikan kesihatan, selain secara merentas kurikulum pada mata pelajaran lain seperti bahasa Malaysia, sains, biologi dan pendidikan Islam.

Istilah “pendidikan seks” bagaimanapun tidak digunakan sama sekali dalam konteks pendidikan di Malaysia kerana ia memberi konotasi yang negatif di kalangan masyarakat kita.

Istilah “pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial” digunakan susulan daripada kelulusan kabinet pada 20 Disember 2006 untuk menggantikan nama “pendidikan kesihatan keluarga” (1989 – 2002) dan “pendidikan seksualiti” (2003 – 2005) yang digunakan sebelum ini.

Kurikulum pendidikan kesihatan terdiri daripada elemen PEERS (75 peratus), pemakanan (15 peratus) dan pertolongan cemas (10 peratus).

Kandungan PEERS dalam pendidikan kesihatan digubal berdasarkan kepada tahap perkembangan kognitif dan kesesuaian peringkat umur kumpulan sasaran.

Setiap individu perlu dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan konstruktif, bijak dan bertanggungjawab dalam menangani situasi berisiko.

Ia selari dengan keutamaan maqasid syariah bagi mencapai negara rahmah dan menjaga serta memelihara keturunan.

Untuk mengukuhkan lagi perpaduan umat, penerapan akhlak mulia dan kawalan diri perlu berlandaskan syariat Islam. Tindakan memelihara dan menjaga keturunan ini perlu di ambil berat oleh setiap individu.

Tidak cukup sekadar itu sahaja, setiap individu juga hendaklah bertanggungjawab menggalas tanggungjawab ini demi menjaga institusi keluarga dan masyarakat.

Tugasan menjaga dan memelihara keturunan ini juga hendaklah melihat kepada skop yang mencakupi hal akhlak dalam hubungan sesama manusia.

Unsur seperti hasad, fitnah, mencela mengadu domba dan lain lain lagi antara puak-puak tertentu hendaklah dijauhkan kerana itu bukanlah cerminan Islam.

Justeru PEERS ini wajib diajar di sekolah bagi tujuan membentuk peribadi manusia bagi mencapai matlamat falsafah pendidikan, mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Puteri di Perhimpunan Agung Umno

PEERS perlu diajar dengan penuh jelas dan telus. Segala istilah yang digunakan wajib difahami oleh semua murid baik di peringkat prasekolah hinggalah sekolah menengah.

Tanpa kefahaman yang jelas murid akan keliru dalam setiap aspek perubahan diri dan sekelilingnya. Hal ini akan membawa kepada sifat ingin tahu yang akan mereka lakukan sendiri di rumah atau di luar rumah bersama rakan-rakan.

Ramai masyarakat di luar sana masih lagi tertanya-tanya, bagaimana bentuk pengajaran dalam menerapkan ilmu ini kepada murid-murid, sehingga ada antara mereka yang cepat menyanggah dan menyalahkan guru apabila berlakunya masalah tidak diingini. 

Baru-baru ini di pentas Perhimpunan Agung Umno lalu seorang ahli Puteri Umno, Norrulhuda Marsidin, menyatakan: "Ketika ini, pendidikan seks tidak diajar secara serius dan perlu dikaji semula supaya memberi kesedaran kepada pelajar dan generasi akan datang supaya berwaspada dengan perkara yang terjadi kepada diri mereka sendiri."

Kata-kata ini sedikit sebanyak mengguris hati guru, seolah-olah mereka tidak mengajar dan memberi kefahaman tentang isu yang sedang berlaku.

Penulis, tanpa segan silu mencabar Puteri Umno khususnya, untuk turun padang dan membantu guru membasmi masalah yang kian parah ini.

Jangan sekadar datang ke sekolah dan melaksanakan program dua hingga tiga jam kemudian berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan.

Ayuh, hadir ke sekolah dan lakukan sedikit analisis serta pelan tindakan, seterusnya berganding bahu dengan pihak sekolah supaya kefahaman PEERS ini dapat dihadamkan murid dengan baik.

Kaedah pengajaran, pembelajaran PEERS

Setiap tahun, guru yang mengajar PEERS akan mengikuti kursus penambahbaikan bagi mengajar subjek ini. Apa yang penting, objektif pengajaran dan pembelajaran perlu dicapai dalam apa jua bentuk dan teknik.

Pada permulaan setiap tajuk dan pengajaran, guru hendaklah menerang dan menjelaskan skop pelajaran yang hendak dipelajari. Setelah itu guru hendaklah memberitahu murid apa yang dikehendaki daripada mereka.

Strategi ini adalah untuk membangkitkan minat dan kesedaran terhadap apa yang hendak di ajari ketika itu.

Guru pula, hendaklah sentiasa senyum, menghadap kelas dan bercakap dengan pelajar termasuk pelajar di barisan belakang semasa mengajar PEERS.

Mengapa hal ini perlu dilaksanakan? Kerana subjek PEERS ini memerlukan persediaan mental dan fizikal yang cukup, sama ada murid atau guru.

Guru hendaklah menyampaikan informasi yang tepat dan penerangan yang mantap pada setiap istilah PEERS.

Contoh, bagi kemaluan lelaki guru tidak boleh sama sekali membuat analogi "burung", "angry bird" atau "anu" sebaliknya menggunakan istilah "zakar".

Guru wajib menerangkan sehingga murid faham. Begitu juga dengan perihal fizikal perempuan. Tanpa ada rasa selindung, guru perlu menjelaskan semua ilmu diajari itu dengan hikmah.

Antara persembahan yang boleh dilakukan dalam mengajar subjek PEERS ialah suara guru hendaklah kuat tetapi dalam nada mesra. Tanpa suara yang kuat dan jelas kemungkinan murid tidak akan dapat memahami setiap pembelajaran yang dijalankan.

Kemesraan di dalam penyampaian juga hendaklah wujud semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan agar murid berasa selesa dan objektif tercapai.

Selain itu, guru-guru hendaklah memilih perkataan yang sesuai, menghuraikan istilah yang digunakan, bercakap dengan semua pelajar, menggunakan teknik-teknik lain seperti soal jawab, papan tulis, demonstrasi dan lain-lain.

Guru juga perlu mengulang butiran penting dan tidak ketinggalan menyelitkan unsur kecindan atau lawak jenaka. 

Bagi penutup setiap sesi pengajaran dan pembelajar pula, guru hendaklah mengulangi fakta utama, menggalakkan perbincangan dan meneguhkan poin yang lemah.

Nampak mudahkan? Tetapi di hadapan guru ada 1,001 macam perangai yang perlu diraikan agar pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kesimpulan

PEERS perlu disesuaikan mengikut perkembangan awal kanak-kanak hingga remaja serta trend teknologi semasa. Hal ini kerana generasi zaman globalisasi tidak lekang daripada dunia tanpa sempadan.

Mereka boleh menerokai dunia ini dengan mudah walaupun hanya berdiam diri di dalam bilik atau rumah.

Maka menjadi tangunggajawab semua pihak - ibu bapa, guru, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan masyarakat - berganding bahu memperkasakan PEERS dengan harapan keharmonian dan kesejahteraan insan dapat dipelihara, seterusnya matlamat atau objektif maqasid syariah tercapai.


MOHD FADHLI OTHMAN wakil Sekretariat Pusat Mother Againsts Pornography, manakala NURUL ZAKIAH A TAJULDIN guru pendidikan jasmani dan kesihatan

Lihat Komen
ADS