Berita Malaysiakini

Jemputan Dr M ke majlis agong dibatal, kerusi tak disedia

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Undangan untuk Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke istiadat menandatangani surat sumpah Yang di-Pertuan Agong dan timbalan baginda pada 13 Disember ini, dibatalkan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dikatakan memaklumkan perkara itu kepada Mahathir melalui surat bertarikh 5 Disember (kelmarin).

Ia juga dikatakan bagi “mengelak kesipuan (embarrassment)” kerana tiada kerusi untuk Mahathir disediakan pada istiadat itu.

Surat berkenaan dikatakan dialamatkan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana - yang diasaskan Mahathir - di Putrajaya.

Seorang pegawai Mahathir yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan menerima surat itu.

Sementara itu pegawai Istana Negara yang dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai surat berkenaan, manakala pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pula tidak dapat memberikan maklumat lanjut kerana pegawai yang bertugas tiada pada waktu itu.

Kandungan surat berkenaan dikatakan turut berdoa supaya Mahathir berada dalam keadaan baik dan sihat serta memohon maaf kepada beliau.

Imej surat sama didapati turut beredar meluas di rangkaian media sosial dan kumpulan-kumpulan WhatsApp.

Antara yang turut memuat naik surat itu termasuk wartawan veteran Jahabar Sadiq dan anak perempuan Mahahir, Marina. 

“Siapa sebenarnya akan tersipu-sipu nanti?” tulis Marina di Twitter. Turut mengiringi tweet berkenaan ialah salinan gambar surat itu.