Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahok dibicarakan atas tuduhan hina agama Islam

Gabenor Jakarta yang beragama Kristian, Basuki Tjahaja Purnama hari ini dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menghina agama ekoran mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina Islam.

Beliau yang lebih popular dengan panggilan Ahok dituduh 'menyatakan secara umum permusuhan kepada, menyalah guna dan menghina" agama yang boleh dikenakan hukuman sehingga lima tahun penjara di Indonesia.

Tahap keselamatan dikawal ketat di Mahkamah Daerah Jakarta Utara dengan ratusan umat Islam konservatif yang berpakaian putih berkumpul di luar mahkamah untuk menuntut Ahok dipenjarakan.

"Saya faham pertuduhan tetapi saya tidak faham kenapa dituduh menghina agama," kata Ahok selepas pendakwa raya membacakan pendakwaan ke atas beliau, memetik laporan dpa.

Mengikut undang-undang Indonesia, defendan tidak perlu membuat rayuan pada permulaan sesi perbicaraan.

Ahok didakwa menghina al-Quran selepas mempertikaikan penggunaan sepotong ayat dalam surah al-Maidah yang dijadikan alasan untuk menolak kepimpinan beliau.

Ayat itu berkaitan status bukan Islam sebagai pemimpin bagi orang Islam.

Ketegangan meningkat di Jakarta selepas lebih 100,000 umat Islam berhimpun pada 4 November yang lalu bagi menuntut pendakwaan ke atas Ahok.

Himpunan anti-Ahok kedua berlaku pada 21 Disember dengan kehadiran lebih daripada 200,000 peserta.

Ahok menjadi gabenor Jakarta yang pertama beragama Kristian dalam tempoh 50 tahun apabila beliau mengambil alih dari Joko Widodo yang kini menjadi presiden Indonesia pada tahun 2014.

Apa yang berlaku terhadap Ahok turut mendapat perhatian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada anggota parlimen dan ahli politik bukan Islam supaya tidak berkelakuan seperti beliau berhubung Akta 355.

“Suka saya menjelaskan betapa perlunya perbahasaan usul ini di tangguh walaupun usul ini mengikut proses demokrasi mewakili ahli parlimen Islam sama ada PAS, Umno dan lain-lain.

“Usul ini berkait dengan agama Islam sahaja iaitu perkara agama Islam bawah bidang Duli Yang Maha Mulia, yang tidak sepatutnya diganggu oleh kalangan bukan Islam.

“Namun terdapat ahli-ahli politik bukan Islam yang saya percaya mereka tidak mewakili masyarakat bukan Islam sepenuhnya, (ia) lebih untuk mendapat keuntungan politik daripada kepentingan awam.

“Saya beri peringatan pada mereka jangan berlagak seperti Ahok di Jakarta,” tegasnya.

Lihat Komen
ADS