Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lupakah pada PAU 2015, tanya Rizal kepada Kadir Jasin

Ekoran 'serangan' bekas ketua pengarang Kumpulan NST Datuk Abdul Kadir Jasin ke atas Datuk Seri Najib Razak, Ketua Penolong Pengarah bahagian khas Pejabat Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor kemudian tampil membela perdana menteri.

Dalam kenyataan yang dimuatkan di Facebooknya, Rizal mengingatkan Abdul Kadir supaya jangan menjadi Melayu yang mudah lupa serta kurangkan berkhayal.

Malah, dalam kenyataan berkenaan Rizal turut menyertakan gambar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 dan meminta Abdul Kadir yang telah dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) supaya meneliti gambar berkenaan.

Ia ekoran Abdul Kadir sebelum ini mendakwa Najib tidak berani bersemuka dengan Dr Mahathir.

"Wahai Datuk ahli MPT PPBM, jangan jadi spesis Melayu mudah lupa. Kurangkan berkhayal, nanti jatuh pokok kelapa.

"Harap Datuk MPT teliti gambar kedua baik-baik tapi jangan tenung lama-lama. PAU 2015 Datuk dah lupa ye?," kata Rizal yang juga pembantu khas Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan, Abdul Kadir menyerang Najib dengan memetik tulisan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang berkata, Najib kini tidak lagi berani untuk bersemuka dengan Dr Mahathir.

"Najib bukan sahaja takut berbahas dengan Dr Mahathir seperti dibuktikan oleh pembatalan kehadirannya di forum “Nothing2Hide” 4 Jun tahun lalu, malah bersemuka atau berada dalam majlis yang sama pun dia tidak berani lagi.

"Jadi apabila baru-baru ini Zam menulis mengenai soal siapa yang akan “kesipuan” (embarass) kalau Dr Mahathir dibenarkan menghadiri istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baru dan timbalan baginda di Istana Negara pada 13 Disember ini, pengertiannya amat dalam.

"Antara lain Zam menulis dalam blognya: “Kita dapat menjangkakan apa yang akan berlaku sekiranya Tun hadir di upacara itu iaitu pastinya tetamu kehormat yang berperadaban akan menumpu kepada Tun untuk berjabat tangan atau mencium tangannya sebelum atau selepas upacara.

“Ini akan meletakkan pemimpin Barisan Nasional terutama Perdana Menteri dan Menteri-Menteri berada dalam keadaan serba salah atau kesipuan," kata Kadir dalam catatan blognya.

Lihat Komen
ADS